Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Dr Azizan, dua Pengarah RichWorks disaman bekas rakan kongsi RM24 juta

Datuk Zafrol,kiri, Datuk Azizan, kanan

KUALA LUMPUR: Datuk Zafrol Rizal Mat, bekas rakan kongsi Datuk Dr. Azizan Osman yang telah bersama-sama menubuh dan membangunkan syarikat RichWorks International Sdn. Bhd. (RichWorks)  (RASB) menyaman individu berkenaan bersama dua lagi pengarah syarikat terbabit, lapor portal Suara Merdeka.

Beliau yang lebih dikenali dengan nama Datuk Jerry Rizal itu mendakwa saman sebanyak RM24 juta tidak termasuk aset-aset milik syarikat dikemukakan hari ini dan pihak Suara Merdeka telah melihat writ saman berkenaan yang difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor.

Dua lagi individu yang disaman ialah Hasdiana Ahmad dan Hasnita Ahmad.


Mengikut writ saman itu:

RASB merupakan sebuah syarikat yang diperbadankan pada 23.7.2010 yang dahulunya dikenali sebagai Richworks International Sdn. Bhd. RASB menjalankan perniagaan, antara lain, perkhidmatan bimbingan korporat dan perniagaan (corporate and business coaching services), perkhidmatan pembelajaran elektronik (e-learning services), seminar dalam talian (online seminar), latihan dalam talian (online training), perkhidmatan bimbingan dalam talian (online coaching), dan khidmat nasihat.

Perkhidmatan RASB tersebut diberikan kepada klien-klien RASB melalui suatu kaedah pemasaran dengan menggunapakai persona atau karakter Azizan Osman yang menampilkan dirinya sebagai seorang mentor atau guru perniagaan dalam memberikan bimbingan dan latihan kepada usahawan-usahawan perniagaan kecil sederhana (PKS) terutama sekali usahawan bumiputera.

Pada atau sekitar November 2010, Plaintif telah menyertai RASB dan telah dinaikkan pangkat ke jawatan General Manager pada atau sekitar 2011. Kemudian pada tahun 2013, Plaintif telah dilantik sebagai pengarah bagi operasi serantau RASB.

Plaintif memplidkan bahawa walaupun jawatan yang disandang tersebut adalah sebagai pengarah, namun RASB tidak mendaftarkan nama Plaintif sebagai pengarah dalam daftar syarikat RASB di Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Oleh itu, jawatan pengarah tersebut hanya pada nama semata-mata tanpa sebarang pendaftaran rasmi di Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Dari penubuhan RASB sehingga 15.1.2019, Azizan Osman dan Hasdiana merupakan pengarah bagi RASB dan juga memegang pemilikan saham dalam RASB. Kemudian, kepengarahan RASB diteruskan oleh Hasnita bermula dari 15.1.2019 sehingga ke hari ini.

Plaintif memplidkan bahawa pada setiap masa material, Azizan Osman merupakan controlling mind kepada RASB walaupun selepas peletakkan jawatannya sebagai pengarah pada 15.1.2019. Oleh itu, Azizan Osman dianggap sebagai seorang shadow director yang mempunyai pengaruh dan kawalan terhadap RASB tanpa memerlukan sebarang kuasa rasmi sebagai pengarah.

Terdapat juga keadaan di mana Azizan Osman menegaskan kepada Plaintif bahawa RASB merupakan syarikatnya dengan menyatakan “This is my fucking company” kepada Plaintif apabila Azizan Osman tidak berpuas hati dengan tindakan Plaintif yang berjumpa dengan setiap satu klien RASB di bawah Program Mentorship Titanium bagi tujuan untuk meyakinkan mereka untuk meneruskan langganan dalam program tersebut, tanpa membawa Azizan Osman bersama-sama perjumpaan tersebut.

Walaubagaimanapun, pada setiap masa material, Plaintif telah diiktiraf oleh RASB, Azizan Osman serta orang awam dan media sebagai seorang pengasas bersama (co-founder) RASB. Oleh itu, Plaintif memplidkan bahawa Plaintif merupakan penyumbang besar dalam pembangunan perniagaan yang diberikan oleh dan melalui RASB dan Azizan Osman.

Antara lain tuntutan juga melibat pembelian dua lot tanah di Kelab Golf Sultan Abdul Aziz Shah (KGSAAS). Plaintif selanjutnya memplidkan bahawa pada atau sekitar tahun 2021, Azizan Osman telah mendorong dan/atau mempengaruhi Plaintif untuk membeli dua (2) lot hartanah yang terletak di Kelab Golf Sultan Abdul Aziz Shah (KGSAAS), Shah Alam, Selangor daripada Azizan Osman, atas alasan bahawa sebagai pengasas bersama dan Executive Chairman kepada RASB serta individu kanan kepada Azizan Osman, Plaintif sewajarnya memiliki sebuah kediaman mewah di KGSAAS sebagai lambang status dan simbol reputasi demi meningkatkan imej korporat RASB serta Azizan Osman sendiri.

Tambahan lagi, Plaintif memplidkan bahawa Azizan Osman telah mendorong Plaintif bagi membeli Hartanah KGSAAS tersebut dengan memberikan janji dan representasi bahawa Hartanah KGSAAS tersebut akan dibiayai oleh RASB, antara lain, melalui kenaikan pendapatan Plaintif dari RM27,000 sebulan kepada RM450,000.00 sebulan serta melalui pembiayaan terus daripada RASB kepada Plaintif. 

Plaintif memplidkan bahawa janji dan representasi yang diberikan oleh Azizan Osman tersebut telah menyebabkan Plaintif bertindak untuk melakukan pembelian pada pengakhiran tahun 2021.

Plaintif memplid bahawa alasan di sebalik tawaran Azizan Osman untuk melupuskan Hartanah KGSAAS kepada Plaintif serta persetujuannya untuk membiayai pembelian hartanah tersebut melalui RASB adalah kerana Azizan Osman telah mendapatkan khidmat nasihat daripada seorang pakar feng shui bernama Amy Wong, yang telah memaklumkan bahawa Hartanah KGSAAS tersebut tidak sesuai untuknya.

Tambahan lagi, Plaintif memplidkan bahawa pada tahun tersebut juga, RASB telah melakukan pembayaran yuran guaman kepada Misyail Othman & Co sebanyak RM16,553.84 serta deposit bagi pembelian Hartanah KGSAAS tersebut. Hal ini menjelaskan lagi keadaan di mana Azizan Osman merupakan seorang “controlling mind” dalam RASB dan RASB sendiri telah bersetuju untuk membiaya pembelian Hartanah KGSAAS tersebut apabila pembayaran-pembayaran di atas dilakukan oleh RASB yang mana pembayaran-pembayaran ini adalah dalam pengetahuan dan makluman Hasnita sebagai pengarah RASB pada masa material.

Disunting dari: SuaraMerdeka