JAKARTA – 08 sept 2025 Cinta yang sepatutnya berakhir di pelamin bertukar tragedi berdarah apabila seorang wanita muda, Tiara Angelina Saraswati, 25, ditemukan maut dalam keadaan ngeri selepas mayatnya dikerat menjadi 65 bahagian sebelum dibuang di kawasan hutan Pacet-Cangar, Mojokerto.
Mangsa yang berasal dari Desa Made, Lamongan, Jawa Timur, merupakan lulusan Universiti Trunojoyo Madura (UTM) dalam jurusan Pengurusan. Selepas tamat pengajian, beliau bekerja dan menetap di Surabaya.
Hidupnya disifatkan rakan-rakan sebagai ceria dan bersemangat mengejar cita-cita, namun segalanya berakhir dengan tragis.
Suspek dikenal pasti sebagai Alvi Maulana, 24, asal Labuhan Batu, Sumatera Utara, yang juga kekasih mangsa. Mereka berkenalan semasa menuntut di universiti sama, walaupun dalam jurusan berbeza.
Cinta kampus itu diteruskan apabila mereka tinggal bersama di sebuah rumah sewa di Surabaya.
Namun, hubungan yang pada awalnya penuh janji manis bertukar retak akibat masalah peribadi.
Pertengkaran kerap berlaku hingga akhirnya berakhir dengan kejadian paling mengerikan.
Hasil siasatan polis mendapati, Alvi bertindak kejam dengan memukul dan menikam Tiara menggunakan tukul serta pisau daging, sebelum mengerat mayat kekasihnya itu menjadi 65 bahagian kecil.
Potongan jasad berkenaan kemudian dimasukkan ke dalam bungkusan plastik dan dibuang berselerakan di kawasan Pacet-Cangar, Mojokerto, lokasi yang sering menjadi tumpuan pelancong.
Penemuan ngeri itu tercetus selepas seorang pencari rumput menemui sepotong kaki manusia di semak-semak pada 6 September 2025.
Polis yang menjalankan siasatan lanjut kemudian menemukan puluhan lagi potongan tubuh mangsa.
Selepas siasatan intensif, polis berjaya mengesan Alvi dan menahannya di sebuah rumah sewa di kawasan Lakarsantri, Surabaya.
Dalam serbuan itu, polis turut menemui beberapa barangan bukti utama, termasuk tukul dan pisau daging yang dipercayai digunakan untuk membunuh serta memotong mayat mangsa.
Menurut jurucakap polis, suspek telah mengaku membunuh Tiara kerana masalah peribadi yang menimbulkan pertengkaran hebat antara mereka.
Keluarga mangsa di Lamongan dilaporkan sangat terkejut dengan berita kematian Tiara yang disifatkan “anak baik, periang, dan penuh cita-cita”. Rakan-rakan kampus turut meluahkan kesedihan, tidak menyangka wanita pintar itu menjadi mangsa pengkhianatan cinta.
Kes ini bukan sahaja menggemparkan Mojokerto, malah turut mengejutkan masyarakat Indonesia yang menyifatkan ia antara kes pembunuhan paling kejam dalam dekad ini.
Pihak berkuasa kini sedang melengkapkan kertas siasatan dan menunggu hasil penuh bedah siasat. Alvi bakal berdepan tuduhan pembunuhan dengan sengaja yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau hukuman mati mengikut undang-undang di Indonesia.
Tragedi ini menjadi peringatan hitam bahawa cinta tanpa batasan agama boleh berubah menjadi mimpi ngeri apabila dicemari cemburu, dendam, dan emosi yang tidak terkawal.
Sumber Media Indonesia
video:
video: