JERLUN - Seorang lelaki berusia 45 tahun ditemui maut dengan kepala terputus daripada badan di kawasan sawah padi berhampiran rumahnya, dalam kejadian pergaduhan di Kampung Pida 3 di sini pada petang Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam sekitar jam 7.05 malam memaklumkan berlaku pergaduhan antara dua lelaki.
“Apabila polis tiba di lokasi, suspek berada di rumahnya bersama sebilah parang di dalam bilik.
"Ketika ditahan, suspek masih memegang parang sebelum akhirnya menyerah diri selepas kira-kira 15 minit dipujuk,” katanya kepada pemberita semasa ditemui di tempat kejadian.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati mayat mangsa ditemui dalam keadaan terlentang di dalam sawah padi, berhampiran rumah suspek.
“Kepala mangsa didapati terputus daripada badan dan terdapat beberapa kesan tetakan lain pada tubuh mangsa,” katanya lagi.
Jelas beliau, parang yang digunakan dalam kejadian itu berukuran kira-kira 30 sentimeter turut dirampas.
Menurutnya, suspek ditahan pada jam 8 malam selepas pihak polis berjaya memujuknya untuk menyerah diri.
"Siasatan awal mendapati suspek berusia 38 tahun dan mangsa merupakan abang ipar kepada suspek. Kedua-duanya bekerja sebagai petani sawah dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
“Jarak antara rumah suspek dan lokasi mayat dijumpai adalah kira-kira 30 meter,” ujar beliau.
Tambah Mohd Radzi, motif kejadian masih dalam siasatan dan pihak polis belum dapat mengenal pasti punca pergaduhan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Katanya, ujian urin terhadap suspek juga masih belum dijalankan.
"Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat, manakala suspek akan direman di Mahkamah Alor Setar pada Sabtu.
"Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat atau spekulasi tidak sahih berkaitan kejadian ini sehingga siasatan selesai,” katanya lagi.
Difahamkan, mangsa meninggalkan seorang isteri dan dua orang anak.
KLIK: VIDEO DI TEMPAT KEJADIAN




