Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Reformasi 2.0, jika Tun M tak serah kuasa pada Mei 2020



SUNGAI BULOH – Seorang pemimpin PKR tidak menolak kemungkinan berlaku semula gerakan reformasi dan himpunan jalanan sekiranya pelan peralihan kuasa Perdana Menteri antara Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berlaku Mei ini.

Bendahari PKR, William Leong menegaskan, sudah sampai masanya penyokong Anwar itu menggunakan ‘Pelan B’ untuk memastikan Dr Mahathir menunaikan janji menyerahkan kuasa pada Mei ini dan bukannya pada November ini.

Bendahari PKR, William Leong


“Ini masa untuk pelan B dikeluarkan, suara rakyat itu penting, kita nakkan pandangan awam, ia adalah tekanan untuk kerajaan kembali kepada landasan.

“Kita sudah turun ke jalan raya sebelum ini, bukan saya mahu suruh mereka turun, tapi kita mahukan semangat,” katanya berucap dalam program Kupasan Politik Semasa anjuran Gerakan Reformasi Perform, di sini, hari ini.



Sebelum ini, media melaporkan bahawa Dr Mahathir memberi jaminan beliau akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar selepas dua tahun memerintah negara.

Bagaimanapun isu peralihan kuasa itu semakin hangat apabila terdapat laporan sebanyak 138 ahli Parlimen telah menandatangani akuan bersumpah (SD) untuk menyokong Dr Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri sehingga habis penggal.

Dalam pada itu, William menyifatkan Dr Mahathir sebagai diktator kerana sikapnya tidak pernah berubah apabila menyentuh soal peralihan kuasa yang mahu dilanjutkan sehingga November ini.

“Kita telah beri peluang kepada Mahathir, kita tahu siapa Mahathir, dulu dia datang himpunan Bersih pakai baju kuning, laungkan reformasi, dia sokong agenda reformasi, kita memang tidak tahu benar atau tidak apa yang dia cakap.



“Tapi akhirnya bukan sahaja ahli PKR, tapi rakyat semua beri peluang kepada Mahathir untuk dia tunjukkan dia berubah, tapi malangnya sekarang sudah jelas dia langsung tidak boleh berubah,”katanya.

Mengulas gerakan mengumpulkan SD, William berkata, jika ada mana-mana wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) yang bersetuju dengan tindakan itu, beliau menyifatkannya sebagai satu pengkhianatan.

“Kalau ini berlaku kerajaan akan hancur dan menjadi sepenggal,”katanya lagi.

Sumber: MalaysiaGazette