Onn Hafiz terharu 'akhirnya' dijemput Anthony, dedah sering dipinggir dalam banyak program
JOHOR BAHRU, 13 Jun: Menteri Besar Johor dilihat menyindir Kementerian Pengangkutan berhubung jemputan menghadiri pelaksanaan projek KTM Komuter Johor yang disifatkannya sebagai jemputan yang akhirnya dibuat secara "ikhlas" selepas beberapa siri program kementerian sebelum ini didakwa berlangsung tanpa penglibatan rasmi Kerajaan Negeri.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik hari ini, beliau berkata dirinya berasa "terharu dan lega" kerana akhirnya menerima jemputan untuk menghadiri program berkenaan yang dijadual berlangsung Selasa depan.
Menurut beliau, pelaksanaan projek KTM Komuter adalah demi kepentingan rakyat Johor dan tidak seharusnya dikaitkan dengan kerjasama politik mana-mana pihak.
Bagaimanapun, beliau mendedahkan bahawa sehingga kini pejabatnya masih belum menerima surat jemputan rasmi mahupun butiran lengkap program daripada pihak Kementerian Pengangkutan.
"Saya hanya dimaklumkan oleh pihak media bahawa jemputan tersebut dibuat ketika program politik Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan Negeri Sembilan malam semalam," katanya.
MB Johor turut membangkitkan beberapa program terdahulu melibatkan Kementerian Pengangkutan yang menurutnya berlangsung tanpa jemputan rasmi kepada beliau atau EXCO kerajaan negeri, termasuk lawatan ke CIQ pada tahun 2023, pengumuman berkaitan VEP pada tahun 2024 serta lawatan ke ETS Segamat pada tahun 2025.
Beliau turut menyentuh lawatan kerja Menteri Pengangkutan ke tapak projek RTS Link pada April lalu yang didakwa tidak melibatkan Kerajaan Negeri Johor, walaupun beberapa pemimpin DAP Johor dilihat hadir.
"Apabila saya berhubung dengan pihak tertinggi kementerian, saya dimaklumkan jemputan hanya melibatkan vendor dan pembekal. Persoalannya, adakah pemimpin-pemimpin DAP ini merupakan vendor atau pembekal?" katanya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan Kerajaan Negeri Johor bukan sekadar menjadi penerima manfaat projek, malah turut menyumbang kepada pelaksanaannya.
Antara sumbangan yang dinyatakan termasuk peruntukan RM700,000 bagi kerja-kerja mencantikkan tren KTM Komuter, penyediaan perkhidmatan bas pengantara melalui Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) dengan kos operasi sekitar RM86,000, selain penajaan tempat duduk bernilai kira-kira RM9,000 untuk keselesaan penumpang.
Menurut beliau, pendedahan itu bukan bertujuan menuntut penghargaan atau "claim credit", sebaliknya bagi memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri turut memainkan peranan penting dalam menjayakan agenda pengangkutan awam yang memberi manfaat kepada rakyat.
"Projek pembangunan bukan milik mana-mana parti politik termasuk DAP. Ia adalah tanggungjawab semua pihak yang diberi amanah untuk melaksanakannya secara profesional demi kesenangan rakyat," katanya.
Beliau menegaskan akan melapangkan jadual untuk menghadiri program tersebut sebaik menerima surat jemputan rasmi daripada kementerian berkenaan.

