SHAH ALAM – Beberapa pelajar sebuah institusi pendidikan di Banting didakwa terpaksa mengikat perut dan hanya makan sekali sehari susulan harga makanan di kafe yang disifatkan terlalu mahal.
Perkara itu didedahkan menerusi beberapa aduan yang dikongsikan oleh ibu bapa dan waris pelajar dalam satu kumpulan perbualan selepas mendakwa kos makanan yang dikenakan di kafe institusi berkenaan membebankan pelajar, khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah.
Seorang waris mendakwa keadaan menjadi lebih sukar kerana lokasi institusi tersebut jauh dari kawasan bandar selain tidak mempunyai pilihan kedai makan berhampiran.
“Ramai pelajar daripada golongan berpendapatan rendah terpaksa makan sekali sehari kerana harga makanan di kafe terlalu mahal.
“Institusi ini terletak jauh dari pekan dan tiada kedai makan di kawasan sekitar. Tambahan pula pelajar tidak dibenarkan keluar,” katanya menerusi aplikasi Telegram pada Rabu.
Sementara itu, seorang bapa yang enggan dikenali mendakwa anaknya terpaksa membayar harga yang tidak munasabah bagi hidangan ringkas.
Menurutnya, anaknya dikenakan caj RM18 untuk nasi bersama lauk tempe yang dianggap jauh lebih mahal berbanding harga di kedai makan biasa.
“Semalam anak saya makan nasi dan lauk tempe dengan jumlah harga RM18. Jika di luar, makanan seperti itu mungkin sekitar RM5 sahaja.
“Saya harap pengusaha kafe tidak mengambil kesempatan dengan mengenakan harga yang terlalu tinggi kepada pelajar,” katanya.
Seorang lagi waris turut mendakwa anaknya dikenakan caj RM23 bagi satu hidangan yang mengandungi beberapa ketul nuget ayam, kepingan daging serta minuman.
“Anak saya memaklumkan harga makanan yang dibeli hari ini berjumlah RM23. Pada pandangan saya, harga itu agak mahal untuk seorang pelajar,” ujarnya.
Selain isu harga makanan, beberapa penjaga turut membangkitkan kebimbangan mengenai tahap kebersihan premis berkenaan selepas gambar yang dikongsikan menunjukkan kehadiran lalat dalam jumlah yang banyak di kawasan penyediaan dan jualan makanan.
Sementara itu, Sinar Harian telah menghubungi pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi mendapatkan maklum balas berhubung dakwaan tersebut.
Pihak terbabit memaklumkan, isu yang dibangkitkan akan akan dirujuk terlebih dahulu kepada institusi terbabit bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

