Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Pengarah, bekas Pengarah agensi Kerajaan antara 13 individu ditahan kes kartel bolot projek

 

IPOH, 17 Jun – Seorang pengarah dan bekas pengarah sebuah agensi kerajaan merupakan antara 13 individu yang direman bagi membantu siasatan berhubung dakwaan meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM2.5 juta daripada kontraktor. 

Kesemua suspek dipercayai terlibat dalam kegiatan melantik syarikat kontraktor yang dikawal oleh ejen kartel untuk memonopoli projek lantikan terus dan sebut harga di agensi berkenaan.

Menurut kenyataan Bahagian Komunikasi Strategik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), seramai 10 lelaki dan tiga wanita berusia antara lingkungan 30 hingga 60-an ditahan antara jam 8 malam hingga 11 malam pada Isnin ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Perak. 

Daripada jumlah tersebut, tiga individu yang terdiri daripada dua penjawat awam dan seorang pengarah syarikat direman selama dua hari bermula 16 hingga 17 Jun, manakala 10 lagi suspek direman selama lima hari sehingga 20 Jun selepas permohonan reman dibenarkan oleh Mahkamah Majistret Ipoh.


SPRM memaklumkan, lapan daripada 13 individu yang ditahan merupakan penjawat awam, manakala lima lagi terdiri daripada orang awam dan pemilik syarikat. 

Siasatan awal mendapati kegiatan tersebut dipercayai berlaku antara tahun 2024 hingga 2026. Kontraktor yang terlibat turut mengakui mereka perlu membayar rasuah antara 10 hingga 15 peratus kepada orang tengah sebelum wang tersebut disalurkan kepada pengarah dan bekas pengarah agensi kerajaan terbabit. 

Dalam perkembangan sama, SPRM sebelum ini melancarkan Op Drain di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang dan Perak dengan melakukan serbuan di 25 lokasi yang melibatkan kediaman, premis pejabat dan agensi kerajaan.

Hasil operasi tersebut, pihak berkuasa menyita pelbagai aset termasuk wang tunai kira-kira RM1.5 juta, sebuah jam tangan mewah, dua buah kenderaan, sebuah motosikal berkuasa tinggi serta barangan kemas yang dianggarkan bernilai RM1 juta.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.