Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Krisis N9: ADUN Gemas umum berkecuali pula



SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemas, Ridzuan Ahmad mengambil pendirian berkecuali susulan perkembangan politik semasa di Negeri Sembilan, termasuk tindakan 14 ADUN Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun ketika ini.

Ridzuan berkata, keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan secara mendalam kepentingan rakyat serta kestabilan negeri dan negara secara keseluruhan.


Menurutnya, keutamaan ketika ini adalah memastikan keadaan politik kekal stabil dan tidak menjejaskan pemulihan serta pertumbuhan ekonomi, khususnya dalam suasana mencabar.

Beliau yang juga ADUN Bersatu itu berpandangan penukaran kepimpinan kerajaan negeri pada masa ini adalah tidak sesuai dan berpotensi menimbulkan ketidakstabilan yang boleh merugikan rakyat.

“Sebarang perubahan besar dalam landskap politik sewajarnya diserahkan kepada mandat rakyat melalui pilihan raya umum akan datang, dan bukannya dilakukan dalam keadaan semasa yang boleh mencetuskan ketidaktentuan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Dalam masa sama, beliau menegaskan semua pihak perlu memberi tumpuan kepada isu rakyat seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, kesejahteraan sosial serta pembangunan ekonomi negeri.

Sehubungan itu, ujarnya, pendirian berkecuali yang diambil adalah selari dengan prinsip untuk mengutamakan kestabilan, kematangan politik dan kebajikan rakyat berbanding kepentingan politik jangka pendek.

Ridzuan turut menegaskan akan terus menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat dengan memberi fokus kepada kebajikan rakyat serta kekal vokal sebagai pembangkang bagi memainkan peranan semak dan imbang terhadap dasar kerajaan Negeri Sembilan.