Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Kes RM1.1 Billion: Rafizi diarah hadir ke SPRM lagi hari ini




PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyambung rakaman percakapan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli untuk hari kedua pagi ini bagi membantu siasatan berkait kes pelaburan bernilai RM1.1 bilion.

Rakaman percakapan itu membabitkan siasatan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan pelaburan antara Kementerian Ekonomi dan syarikat ARM Limited UK dalam perjanjian kerjasama strategik industri semikonduktor.


Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar, berkata proses rakam percakapan ke atas Rafizi semalam yang dijalankan di Ibu Pejabat SPRM, di sini, berlangsung selama sembilan jam.

"Beliau (Rafizi) tiba di SPRM kira-kira jam 9.30 pagi (semalam) dan telah dilepaskan pada jam 6.30 petang.

"Rakaman percakapan akan bersambung untuk hari kedua jam 10 pagi ini," katanya.

Tambah beliau, kehadiran Rafizi bertujuan untuk memberikan kerjasama kepada SPRM dalam melengkapkan siasatan yang dijalankan.

Semalam, Rafizi ketika ditemui media tidak menolak kemungkinan proses siasatan akan mengambil masa beberapa hari bergantung kepada keperluan pihak SPRM.

"Saya kena datang esok (hari ini) pukul 10 pagi. Saya tak menolak kemungkinan mungkin beberapa hari lagi, kita tak tahu berapa banyak lagi soalan," katanya.

Rafizi berkata, beliau memberi keterangan tanpa kehadiran peguam dan akan meneruskan kaedah sama pada sesi seterusnya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai skop atau sudut siasatan yang sedang dijalankan.