Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Seorang maut, 10 cedera dalam letupan di Universiti swasta dekat Damansara



KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berusia 24 tahun maut manakala sepuluh yang lain cedera dalam satu letupan yang melibatkan pemampat penyaman udara di sebuah universiti swasta di Bukit Damansara, Kuala Lumpur, pagi ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihak polis menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.40 pagi.


Menurut beliau, siasatan awal mendapati letupan berlaku di kawasan penyelenggaraan penyaman udara yang terletak berhampiran kafeteria di tingkat empat bangunan universiti berkenaan.

“Akibat kejadian itu, seramai sembilan orang terlibat sebagai mangsa, ada melibatkan kecederaan yang parah dan cedera ringan,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian, hari ini.

Beliau berkata, semua mangsa telah dikejarkan ke beberapa hospital berhampiran termasuk Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Hospital Kuala Lumpur (HKL) serta Hospital Sungai Buloh.

Mengulas lanjut, Datuk Fadil memaklumkan, mangsa terdiri daripada empat pelajar universiti tersebut, dua pekerja kontraktor, seorang kakitangan pengurusan serta dua warga asing yang bekerja di kafetaria tersebut.

“Kita bernasib baik kerana kawasan itu tidak dipenuhi ramai pelajar ketika kejadian berlaku, dipercayai berikutan masih dalam tempoh cuti,” katanya.

“Setakat ini, lokasi kejadian sudah disahkan selamat sepenuhnya dan siasatan masih dijalankan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, antara punca yang dikenal pasti adalah kemungkinan kebocoran gas bertekanan tinggi, namun perkara itu masih dalam siasatan forensik bomba.

Dalam kejadian itu, sebahagian mangsa mengalami kecederaan melecur serta separa melecur akibat serpihan letupan yang kuat sehingga menyebabkan kerosakan pada struktur dinding bangunan.

Tambah beliau, pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersama unit Hazmat kini sedang menjalankan kerja-kerja pemeriksaan dan keselamatan bagi memastikan tiada risiko letupan susulan.

Seramai 38 anggota bomba terlibat dalam operasi hari ini, termasuk pasukan forensik dan Hazmat.