KUALA LUMPUR – Proses peralihan kuasa dalam Perikatan Nasional (PN) susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sepatutnya sesuatu yang mudah, dan tidak perlu berbelit-belit.
Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, apa yang perlu dilakukan sekarang adalah memanggil satu mesyuarat khas PN untuk menerima dan mengesahkan peletakan jawatan Muhyiddin, supaya pengerusi baharu boleh dilantik.
Jelasnya, mesyuarat itu selaras seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan PN.
Katanya, disebabkan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut meletakkan jawatan, maka tugas itu kini dipangku oleh timbalannya.
“Beliaulah yang perlu uruskan panggilan mesyuarat, mengikut tatacara di dalam Perlembagaan PN. Mudah sahaja. Tak perlu berbelit-belit pun,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Sebaliknya, menurut Afnan Hamimi, apa yang berlaku kini adalah apabila ada pihak tertentu yang mempertikai berkenaan siapa yang layak memanggil mesyuarat PN.
Malah, katanya, ada pihak yang turut mentafsir perlembagaan PN mengikut fahaman sendiri; membawa individu dalam perjumpaan tertentu dan meminta sokongan pihak tertentu.
“Ini semua perangai berbelit-belit. Yang berbelit-belit ni biasanya ada plan lain.
“Plan untuk gagalkan semua proses yang mudah tadi. Depa inilah punca masalah,” katanya.
Ujarnya, rakyat boleh menonton pihak mana yang sedang `membelit’ itu memandangkan kumpulan tersebut tidak ramai dan mudah dikenali.
Kenyataan ini keluar bagi membalas kenyataan Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Azizyang dilihat seperti menyukarkan urusan denagn pelbagai alasan untuk memangil mesyuarat khas tersebut.
– MalaysiaGazette

