TEMERLOH: Kenyataan Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail yang menyebut “lebih mudah bekerjasama dengan DAP berbanding MCA” disifatkan sebagai luahan hati secara jujur dan ikhlas, bukan bertujuan mengguris perasaan mana-mana pihak.
Ketua MCA Temerloh, Wong Tat Chee berkata, kenyataan itu perlu dilihat secara matang dan objektif, tanpa diputarbelit sehingga mencetuskan salah faham dalam kalangan parti komponen Barisan Nasional (BN).
“Saya berpandangan ia adalah luahan perasaan hati MB secara ikhlas, bukan berniat untuk menyindir atau merendahkan MCA. Dalam beberapa siri pertemuan saya bersama beliau, YAB MB sentiasa menunjukkan keprihatinan terhadap usaha pemulihan MCA dan bersedia membantu parti ini mengembalikan keyakinan pengundi Cina,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Wong, jika dianalisis dengan lebih halus, kenyataan tersebut sebenarnya mengesahkan bahawa MCA adalah sebuah parti yang lebih cekal dan berprinsip, terutamanya apabila membincangkan isu-isu berkaitan kepentingan masyarakat Cina secara dalaman.
“MCA tidak mudah berkompromi dalam isu prinsip. Sikap ini secara tidak langsung meletakkan MB dalam keadaan serba salah, berbanding sebuah lagi parti Cina dalam Kerajaan Perpaduan Negeri Pahang yang memilih jalan lebih mudah untuk berkompromi. Dari situlah lahir perbandingan tersebut,” jelasnya.
Beliau menegaskan bahawa MCA tidak melihat kenyataan itu sebagai satu serangan, sebaliknya sebagai pengiktirafan terhadap ketegasan dan pendirian parti dalam memperjuangkan isu rakyat.
Wong turut mengingatkan bahawa Wan Rosdy merupakan antara Ketua Kerajaan Barisan Nasional yang paling lama memerintah sejak pertukaran rejim pada tahun 2018, sekali gus membuktikan kestabilan kepimpinan dan pengalaman beliau dalam mengurus kepelbagaian pandangan politik.
“MCA sentiasa melihat YAB MB sebagai seorang pemimpin yang bersifat inklusif dan sederhana, sejajar dengan nilai teras Barisan Nasional. Walaupun beliau berdepan pelbagai tekanan dan cabaran daripada pembangkang, pentadbirannya kekal stabil dan berimbang,” katanya.
Mengulas hubungan antara parti komponen BN, Wong berkata UMNO, MCA dan MIC telah bersama-sama mengharungi pasang surut politik sejak tahun 1955, justeru isu berkenaan tidak seharusnya mencetuskan ‘perang mulut’ secara terbuka.
“Hubungan ini dibina atas asas persefahaman, toleransi dan saling menghormati. Satu kenyataan tidak sepatutnya meretakkan kerjasama yang telah terjalin puluhan tahun,” tegasnya.
Beliau menambah, nilai inklusif dan sederhana yang dibawa oleh Barisan Nasional adalah penawar terbaik untuk mengukuhkan semula keyakinan rakyat serta membina masa depan politik yang lebih stabil dan harmoni.
“Barisan Nasional kekal sebagai gabungan yang membawa nilai moderat dan inklusif. Inilah kekuatan sebenar kita untuk terus melangkah ke hadapan,” katanya.

