Kuala Lumpur: Pendakwaan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Datin Seri Rosmah Mansor daripada 12 tuduhan pengubahan wang haram lebih RM7 juta dan lima kes gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Berdasarkan kepada Notis Penarikan Balik Rayuan bertarikh 9 Disember lalu, Pendakwa Raya memaklumkan pendakwaan tidak berhasrat meneruskan rayuan terhadap keseluruhan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepas dan membebaskan Rosmah daripada semua pertuduhan itu.
Notis itu menyatakan Pendakwa Raya selepas memberi notis untuk merayu pada 20 Disember tahun lalu kerana tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi, dengan ini tidak berhasrat meneruskan rayuan berkenaan.
Berdasarkan surat Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan pula menyatakan sehubungan itu, pengurusan kes rayuan yang ditetapkan pada 22 Disember ini dilapangkan dan rayuan itu disifatkan terbatal sebagaimana diperuntukkan di dalam Aturan 73, Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994.
Hakim Mahkamah Tinggi, K Muniandy (kini hakim Mahkamah Rayuan) membenarkan permohonan isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu untuk membatalkan semua tuduhan terhadapnya atas alasan tuduhan berkenaan adalah tidak berasas dan pendakwaan tidak mengemukakan unsur kesalahan dalam tuduhan yang dikenakan.
Rosmah, 74, memfailkan permohonan untuk membatalkan tuduhan berkenaan pada September 2023.
Perbicaraan kes berkenaan bermula pada 12 Disember tahun lalu, dengan mahkamah mendengar keterangan dua saksi.
Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.
Bagi pertuduhan berkaitan LHDN, Rosmah didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014 hingga 2018.
Beliau didakwa gagal melakukannya seperti mana yang diperuntukkan oleh Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 dengan tiada sebab munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 dan 1 Mei 2018.

