Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Selagi tiada usaha mereformasi UEC, kerajaan tak akan iktiraf -Tok Mat Hasan



KUALA LUMPUR, — Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan bahawa kerajaan tidak mempunyai halangan terhadap pelaksanaan Unified Examination Certificate (UEC), namun pengiktirafan rasmi hanya boleh dipertimbangkan sekiranya ia memenuhi asas-asas pendidikan kebangsaan.

Menurut beliau, Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat perlu mempunyai sistem pendidikan yang dibina berteraskan aspirasi nasional, menggunakan bahasa kebangsaan serta berpaksikan nilai dan identiti negara.


“Kerajaan tidak pernah menghalang UEC. Ia telah dilaksanakan oleh Dong Zong sejak 1975 tanpa sebarang masalah. Isunya bukan pelaksanaan, tetapi pengiktirafan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad menjelaskan kerajaan terbuka mengiktiraf UEC sekiranya kurikulumnya digubal dalam bahasa kebangsaan dan memenuhi ciri-ciri pendidikan nasional. Selagi syarat itu tidak dipenuhi, beliau menegaskan ia tidak boleh disetarakan dengan kelayakan nasional.

Beliau turut menekankan kepentingan pendidikan sebagai alat perpaduan, khususnya dalam masyarakat majmuk.

“Pendidikan adalah arena untuk anak-anak kita belajar bekerjasama dalam semangat muhibah. Ia tidak harus dipolitikkan,” katanya.

Menurut Mohamad, mereka yang memilih sistem UEC kekal bebas berbuat demikian, namun kerajaan tidak wajar dipaksa untuk mengiktiraf kelayakan itu kerana ia tidak dirangka bagi memupuk identiti kebangsaan.

Beliau menambah bahawa bagi tujuan kemasukan universiti, UEC sememangnya diterima oleh banyak institusi dalam dan luar negara, tetapi itu tidak bermakna ia layak disamaratakan dengan sistem pendidikan nasional.

“Selagi tiada usaha mereformasi UEC agar diharmonikan dengan aspirasi nasional, ia akan kekal sebagai sistem yang tidak setara dengan pendidikan kebangsaan,” tegasnya.