Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Penarikan notis sitaan beri kelegaan kepada peneroka -FELDA



KUALA LUMPUR, 9 Disember 2025 – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan FGV Holdings Berhad (FGV) menyatakan penghargaan terhadap pendekatan konstruktif serta kerjasama erat ditunjukkan Kerajaan Negeri Terengganu dalam rundingan berkaitan tanah-tanah yang diusahakan di negeri itu.

Kedua-dua agensi itu mengambil maklum kenyataan terbaharu Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu yang turut mengumumkan lanjutan tempoh remedi sehingga 7 Januari 2026. 


FELDA dan FGV menyifatkan langkah tersebut sebagai tanda keterbukaan kerajaan negeri dalam memastikan proses perbincangan berjalan secara profesional dan teratur.


Perkembangan positif itu juga membolehkan FGV memulakan semula operasi ladang seperti yang dipersetujui. 


Menurut kenyataan itu lagi, ia memberi kelegaan besar kepada para peneroka yang sebelum ini berdepan ketidakpastian mengenai pendapatan, masa depan keluarga serta kelangsungan hidup mereka.


FELDA menegaskan bahawa sejak awal lagi, keutamaan mereka adalah memastikan kebajikan, keselamatan ekonomi dan ketenteraman emosi peneroka khususnya anak jati Terengganu terus terpelihara.


Dengan penarikan notis terbabit, FELDA dan FGV kini kembali memberi tumpuan kepada peningkatan hasil ladang, pengukuhan pendapatan keluarga peneroka serta pembangunan komuniti di tanah rancangan. 


Keyakinan dalam kalangan peneroka dan pekerja turut diyakini dapat dipulihkan, seterusnya menjamin kestabilan ekosistem ekonomi setempat.


Dalam masa sama, FELDA dan FGV merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Terengganu atas komitmen untuk terus mengadakan perbincangan secara profesional. 


Kerjasama berterusan itu disifatkan penting demi memastikan kesejahteraan peneroka, yang merupakan nadi FELDA sejak penubuhannya.