Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Keputusan Agong tak harus dipersoal, TPM Zahid harap Najib menang esok

 


BUTTERWORTH: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap Datuk Seri Najib Razak akan diberikan pengampunan sambil menegaskan beliau tidak sanggup melihat bekas Perdana Menteri itu yang sudah dipenjarakan tiga tahun terus berada di sebalik tirai besi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, keputusan berhubung pengampunan terletak sepenuhnya di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong dan tidak seharusnya dipersoalkan.


Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Makkal Sakti ke-17, di sini hari ini.

Esok, bekas Presiden UMNO yang juga bekas Pengerusi BN itu akan tahu sama ada beliau dibenarkan pulang ke rumah dan menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Alice Loke, dijadual menyampaikan keputusannya dalam semakan kehakiman yang difailkan oleh bekas Ahli Parlimen Pekan itu, yang memohon untuk menjalani baki hukuman penjaranya di rumah.

Bekas Perdana Menteri itu kini menjalani hukuman penjara yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah menyalahgunakan kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB.

Dalam kes berprofil tinggi itu, Najib telah menghabiskan semua peringkat rayuannya selepas gagal membatalkan sabitan dan hukuman berkenaan.

Pada 2 Februari tahun lalu, Lembaga Pengampunan mengumumkan dalam satu kenyataan bahawa hukuman penjara asal Najib selama 12 tahun dan denda RM210 juta telah dikurangkan kepada enam tahun penjara serta denda RM50 juta.

Menurut kenyataan itu, Najib dijadual dibebaskan pada 23 Ogos 2028, namun sekiranya denda tidak dibayar, tempoh penjara akan ditambah satu tahun dan tarikh pembebasan akan menjadi 23 Ogos 2029.

Dua bulan kemudian, pada 1 April 2024, beliau memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman dengan mendakwa wujud satu perintah tambahan diraja yang membolehkannya menjalani hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Pengarah Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri serta kerajaan sebagai responden pertama hingga ketujuh.

Dalam notis permohonannya, Najib memohon perintah mandamus supaya semua atau mana-mana responden mengesahkan dan memperakui kewujudan perintah tambahan bertarikh 29 Januari 2024 itu.

Najib juga memohon perintah mandamus supaya, sekiranya perintah tambahan itu wujud, semua atau mana-mana responden melaksanakan perintah diraja berkenaan dan memindahkannya dengan segera dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.

Pada 4 Julai 2024, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman Najib dengan alasan afidavit sokongan mengandungi keterangan dengar cakap.

Keputusan itu mendorong Najib merayu ke Mahkamah Rayuan, di mana beliau memenangi rayuan berkenaan melalui keputusan majoriti 2-1, dengan perintah supaya perkara itu dirujuk semula ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran penuh.

Pejabat Peguam Negara (AGC) kemudian memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan itu di Mahkamah Persekutuan.

Pada 13 Ogos, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Malaya ketika itu, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim menolak rayuan AGC dan mengarahkan supaya semakan kehakiman Najib dirujuk semula ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran penuh berdasarkan merit kes.

Kes itu kembali didengar di Mahkamah Tinggi di hadapan Hakim Datuk Alice Loke, yang telah mendengar hujahan semua pihak dan menetapkan 22 Disember sebagai tarikh keputusan.