SEBERANG JAYA - Barisan Nasional (BN) menegaskan pendirian supaya Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dikembalikan selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), bagi memastikan keadilan ekonomi serta hasil negara yang lebih mampan.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendirian BN jelas, namun parti itu bersedia memberi ruang kepada sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sedia ada untuk diteruskan buat sementara waktu.
"Pendirian BN adalah untuk mengembalikan GST. Kita beri peluang kepada SST buat masa ini, masih ada baki kira-kira dua tahun.
"Tetapi selepas PRU16, kita menuntut supaya GST, iaitu rejim cukai terbaik, mesti dikembalikan di negara ini supaya rakyat menerima peruntukan lebih besar dan merasai keadilan tanpa mengira status ekonomi," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-17 Makkal Sakti di sini pada Ahad.
Ahmad Zahid berkata, pelaksanaan GST mampu memastikan hasil negara yang lebih besar dan stabil, sekali gus membolehkan kerajaan menyalurkan lebih banyak peruntukan kepada rakyat tanpa mengira latar belakang ekonomi.
"Dengan GST, keadilan dapat diberikan kepada semua lapisan masyarakat. Rakyat akan merasakan sistem percukaian itu lebih telus dan saksama tanpa mengira status ekonomi mereka," katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa pelaksanaan GST bukan sesuatu yang asing, malah telah diamalkan oleh lebih 155 negara di seluruh dunia, manakala Malaysia kini antara segelintir negara yang masih menggunakan SST.
"Kita pernah melaksanakan GST sebelum ini, kemudian berpatah balik kepada SST.
"Hakikatnya, lebih 155 negara telah melaksanakan GST, sedangkan Malaysia antara lapan negara yang masih menggunakan SST,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, BN memahami SST diperkenalkan berikutan janji politik sebelum ini, namun menegaskan keperluan negara pada masa hadapan menuntut satu sistem percukaian yang lebih kukuh dan menyeluruh.
"Kita faham janji yang dibuat dahulu dan kita hormati. Tetapi demi kelangsungan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat, GST perlu dikembalikan," katanya.

