Hanya Dua Keluarga Miskin Tegar Masih Direkodkan di Pahang
KUANTAN – Bilangan keluarga miskin tegar di Pahang kini berkurangan kepada hanya dua isi rumah, berbanding 40 keluarga yang direkodkan pada April lalu.
Perkara itu dimaklumkan oleh Ahli Parlimen PAS Kuantan, YB Wan Razali Wan Nor berdasarkan data terkini yang diterimanya daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy mengesahkan Kerajaan Pahang merekodkan 40 Ketua Isi Rumah (KIR) di Pahang dikanegorikan sebagai miskin tegar berdasarkan statistik sehingga 18 April.
Dengan tinggal hanya dua isi rumah, ini bermakna Kerajaan Pahang telah berjaya mengurangkan kemiskinan tegar isi rumah sebanyak 95%.
Bagaimanapun, Wan Razali menegaskan jumlah keluarga miskin di negeri ini masih tinggi dengan 12,237 isi rumah direkodkan.
Katanya Parlimen Pekan mencatatkan bilangan tertinggi iaitu 1,565 keluarga, diikuti di parlimennya sendiri, Kuantan dengan 1,442 keluarga.
“Walaupun jumlah miskin tegar semakin kecil, hakikatnya masih ramai rakyat yang hidup dalam kesusahan serta tertekan dengan keadaan ekonomi semasa,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, pejabatnya hampir setiap hari menerima kunjungan penduduk yang memohon bantuan barangan dapur.
“Dalam keadaan kami tidak diberi peruntukan, kami tetap cuba membantu walaupun sedikit bagi meringankan beban mereka,” jelasnya.
-TunCarlos.com