Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

37 keluarga di Jinjang Tambahan lega rumah tak jadi roboh


KUALA LUMPUR – Seramai 37 keluarga setinggan di Jinjang Tambahan yang sebelum ini diarahkan mengosongkan rumah didiami lebih 60 tahun pada 23 September lalu, menarik nafas lega apabila arahan itu ditangguhkan.

Aktivis Khidmat Komuniti Kepong, Yee Poh Ping berkata, penangguhan itu memberi ruang kepada penduduk B40 terbabit untuk menyuarakan keresahan mereka selepas berdepan tekanan pengusiran melalui proses mahkamah di bawah Order 89.


“Kami berterima kasih kepada semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) yang turun padang membawa mesej jelas kepada kerajaan supaya memahami kedudukan golongan B40 yang terjejas.

“Kami rasa ada ketidakadilan apabila penyewa hanya tiga tahun mampu menggunakan proses mahkamah untuk mengusir keluar penduduk yang sudah berdekad tinggal di sini,” katanya dalam sidang media di lokasi di sini pada Selasa.

Beliau berharap kerajaan khususnya Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG), Ketua Setiausaha Negara (KSN) serta Menteri Sumber Asli dapat menggunakan kuasa sewajarnya untuk memutuskan perjanjian penyewaan berkenaan.

Menurutnya, maklum balas diterima daripada Kementerian Sumber Asli memaklumkan perkara itu akan dikaji semula sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Tujuan akhir kita adalah untuk mematahkan perjanjian penyewaan ini. Kami bukan minta rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) kerana ketika ini unit PPR di Wilayah Persekutuan sudah penuh.

“Kalau pun ada, lokasinya sangat jauh daripada kemudahan asas seperti di Puchong atau Sungai Besi,” jelasnya.

Tambah beliau, penduduk mahu kawasan berkenaan dikekalkan sehingga pelaksanaan pembangunan residensi seperti dirangka dalam Pelan Tempatan Bandaraya Kuala Lumpur 2040 (TBKL 2040).

Seorang penduduk, Lim Soo Heong, 53, berkata, keputusan menangguhkan arahan itu sedikit melegakan namun mereka masih bimbang kerana tidak diberikan sebarang jaminan masa depan.

“Memang lega bila dapat tahu tidak jadi roboh, tapi sampai bila? Kami masih tidak tahu nasib kami selepas ini,” ujarnya.

Bagi Kew Seong Yew, 64, yang sudah puluhan tahun menetap di kampung itu, beliau menegaskan penangguhan bukan penyelesaian kekal.

“Kami mahu kerajaan campur tangan secara serius. Kalau ditangguh tapi akhirnya tetap kena keluar, masalah kami tidak selesai,” ujarnya.

Sementara itu, Chong Yee Keong, 65, berkata, generasi tua seperti dirinya berasa sangat tertekan dengan ketidakpastian yang berlaku.

“Kami sudah lama di sini, semua kenangan ada di sini. Umur pun sudah lanjut, kalau dihalau begitu sahaja memang sangat susah untuk mula hidup baru,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng dalam kenyataan pada Isnin, memaklumkan, hasil perbincangan beliau bersama beberapa agensi kerajaan berjaya menangguhkan pelaksanaan perintah pengosongan tersebut.

Lim berkata tanah tersebut adalah hak kerajaan yang dimiliki bersama seluruh rakyat dan bukan untuk diwarisi atau disewakan oleh segelintir keluarga.

Jelasnya, keputusan dicapai bahawa tiada tindakan meroboh rumah, kedai atau kilang akan dijalankan buat masa ini.

Namun, semua pihak perlu menunggu dan melihat sekiranya terdapat tindakan undang-undang yang bakal diambil oleh penyewa tanah terbabit.