KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner di sini, hari ini, diberitahu bahawa arwah Zara Qairina Mahathir pernah menyuarakan niat untuk mencederakan diri sendiri.
Peguam, Azhier Farhan Arisin yang mewakili seorang daripada kanak-kanak dalam kes berkait Zara Qairina, berkata dua pelajar telah memberi keterangan bahawa mereka mendengar arwah bertanya soalan berbentuk hipotetikal.
"Dua saksi itu menyatakan mereka mendengar lebih 10 kali kata-kata seperti: 'Jika saya terjun dari sini, masih adakah sesiapa menyayangi saya... atau bagaimana rasanya?'" katanya.
Beliau berkata demikian kepada media ketika memaklumkan kemas kini berhubung keterangan diberikan tiga saksi kanak-kanak sejak Isnin lalu dalam inkues kes kematian Zara Qairina.
Azhier turut memaklumkan bahawa walaupun Mahkamah Koroner belum mengesahkan catatan dalam diari milik Zara Qairina, saksi kanak-kanak kedua menyatakan dia mengenali tulisan tangan arwah dalam catatan yang ditunjukkan kepadanya.
"Dalam catatan berkenaan, penulis mengadu: 'Ya Allah, kenapa aku dibenci?' dan 'Kenapa aku tidak disukai oleh orang?'.
"Apabila kami bertanya sama ada kandungan catatan itu pernah dibangkitkan oleh Zara kepada mereka, saksi berkata: 'ya'," katanya.
Selain itu, beliau berkata, saksi kanak-kanak pertama juga memberitahu mahkamah bahawa kelihatan seperti wujud ketegangan antara Zara Qairina dengan ibunya, dua hari sebelum pelajar Tingkatan Satu itu ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang di bawah bangunan asrama sekolah pada 16 Julai lalu.
Katanya, saksi itu menyatakan dia bermalam di rumah Zara Qairina di Sipitang sebelum kedua-dua mereka dihantar kembali ke sekolah pada 13 Julai lalu.
"Kedua-dua mereka dihantar oleh ibu Zara. Menurut saksi itu, ada berlaku insiden Zara dimarahi oleh ibunya.
"Saksi menyatakan sebab itu ketika bersalam dengan ibunya selepas tiba di sekolah, Zara dilihat seperti tidak ikhlas melakukannya," katanya.
Azhier menegaskan walaupun tiga saksi kanak-kanak sudah memberikan keterangan, tidak boleh dibuat sebarang andaian atau kesimpulan berhubung kematian Zara Qairina berikutan ramai lagi saksi dijangka memberi keterangan pada inkues berkenaan.
Prosiding inkues akan bersambung esok dengan mendengar keterangan dua lagi saksi kanak-kanak.