KUALA LUMPUR: Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang diumumkan Perdana Menteri hari ini akan memperkukuh peranan Kementerian Luar dalam menyokong keseluruhan agenda pembangunan negara.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata ia akan terus menjadikan Malaysia sebagai suara bagi keadilan global, pemudah cara damai, dan rakan strategik dalam dunia yang berdepan pelbagai cabaran geopolitik dan ekonomi.
Katanya, Malaysia bukan saja ingin dihormati, tetapi juga dipercayai di mata dunia, sebagai negara yang mendukung nilai sejagat dan memainkan peranan aktif ke arah dunia yang lebih aman, makmur dan sejahtera.
“RMK13 bukan sekadar dokumen ekonomi dan sosial, tetapi suatu pelan tindakan strategik yang meletakkan Malaysia pada kedudukan yang lebih tinggi di persada antarabangsa.
“Sebagai Menteri Luar, saya menyambut baik penekanan RMK13 terhadap Prakarsa Kelima, iaitu memperhebat pembabitan dan peranan Malaysia di pentas ekonomi dunia.
“Ini selaras dengan dasar luar Malaysia yang mengutamakan kedaulatan negara, diplomasi berprinsip, serta keterlibatan konstruktif dalam komuniti global,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, antara tumpuan utama dari sudut diplomasi antarabangsa yang akan dilaksanakan selaras dengan RMK13 termasuklah memperkukuh kedudukan Malaysia dalam Perhimpunan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC), BRICS serta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
“Tumpuan juga menjadikan Malaysia sebagai negara yang berprinsip, berdaya tahan dan bersuara lantang untuk dunia membangun selain Malaysia sebagai hab serantau pelaburan, teknologi dan bakat, termasuk melalui Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Kesalinghubungan ASEAN melalui Rel.
“Kementerian juga mahu mengarusperdanakan diplomasi ekonomi dan teknologi, termasuk dalam agenda Semikonduktor Nasional, Kecerdasan Buatan (AI), dan Tenaga Boleh Baharu; memperluas jaringan diplomatik ke pasaran baharu seperti BRICS, Afrika dan Asia Tengah, sekaligus memperkukuh eksport, pelaburan dan pengantarabangsaan sektor strategik seperti halal, francais dan ekonomi digital,” katanya.
Selain itu, RMK13 juga akan memodenkan kemudahan lintas sempadan dan imigresen seperti menaik taraf Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) dan pelabuhan darat, sejajar dengan prinsip diplomasi sempadan yang berdaulat dan efisien.
“Ia juga menyerlahkan peranan Malaysia dalam isu kemanusiaan dan hak asasi manusia, melalui pendekatan MADANI yang berpaksikan kemuliaan insan dan keadilan sejagat,” katanya.