Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

SIS gugurkan perkataan 'Islam' demi hormati Sultan Selangor

 

KUALA LUMPUR: Kumpulan hak wanita, Sisters in Islam (SIS) menggugurkan perkataan 'Islam' daripada nama yang digunakan secara umum susulan nasihat Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pengarah Eksekutifnya, Rozana Isa berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat agung luar biasa pada 11 Julai lalu dan kini akan menggunakan nama berdaftarnya, SIS Forum (Malaysia).


"Walaupun kami menggugurkan perkataan 'Islam' daripada nama pena kami, kami tetap teguh dalam komitmen memperjuang kesaksamaan jantina dan keadilan dalam undang-undang keluarga Islam.

"Akhirnya, yang paling penting adalah usaha kami untuk wanita Islam dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya," katanya seperti dilaporkan FMT.

Sebelum ini, Sultan Selangor menzahirkan kekecewaan dan dukacita dengan sebahagian keputusan Mahkamah Persekutuan yang menyentuh pemakaian fatwa bertarikh 31 Julai 2014 yang tidak terpakai kepada SIS Forum Malaysia serta pertubuhan atau institusi, sebaliknya hanya terpakai kepada individu.

Menerusi kenyataan di Facebook Selangor Royal Office, baginda menegaskan bahawa penyalahgunaan perkataan 'Islam' dalam nama dan penerbitan SIS Forum (Malaysia) boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam.

Sehubungan keputusan Mahkamah Persekutuan ini, baginda Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam di Selangor menggesa SIS Forum (Malaysia) tidak lagi menggunakan perkataan 'Sisters in Islam' ke atas apa-apa bentuk penerbitan di mana-mana platform yang dikaitkan dengan syarikat mereka.

"Ia supaya perkataan 'Islam' tidak sewenang-wenangnya digunakan untuk faedah dan kepentingan syarikat tersebut," menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, Rozana berharap keputusan dibuat melalui mesyuarat agung luar biasa itu akan menamatkan pertikaian yang lama berlarutan berkaitan nama kumpulan itu dan membolehkannya terus bekerjasama 'dengan semua pihak secara berhemah'.

Beliau berkata, SIS Forum (Malaysia) akan terus bekerjasama dengan sarjana, pemimpin komuniti dan institusi bagi memastikan tiada wanita yang tercicir dalam usaha menuntut keadilan.

"Wanita itu setara di sisi Tuhan. Maka, sewajarnya mereka juga dilihat dan dilayan sebagai setara di sisi manusia," katanya.