Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Wanita mengaku tak bersalah ugut, simpan dan sebar gambar lucah guru wanita


MELAKA – Seorang ejen pelaburan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas tiga pertuduhan mengugut dan memiliki gambar lucah madunya yang merupakan seorang guru.

Tertuduh, Herni Sofini Omar, 53, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Uthman Abd Ghani.


Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan perbuatan mengaibkan kehormatan mangsa berusia 45 tahun dengan menyebarkan gambar-gambar lucah melalui kiriman surat.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana menyampaikan ugutan jenayah terhadap individu sama melalui surat tanpa nama yang menyembunyikan identiti.

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dihukum penjara selama tempoh sehingga dua tahun, selain daripada hukuman yang diperuntukkan, jika sabit kesalahan.

Herni Sofini (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, pada Rabu, atas tiga tuduhan mengugut dan menyebarkan gambar bogel madunya.

Herni Sofini (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, pada Rabu, atas tiga tuduhan mengugut dan menyebarkan gambar bogel madunya.

Kedua-dua kesalahan tersebut dilakukan di sebuah rumah di Jalan Meranti 3, Taman Sayang Selasih di sini, kira-kira jam 2 petang pada 27 Mac 2025.

Tertuduh turut berdepan hukuman penjara tiga tahun, denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana menyimpan gambar lucah wanita sama dalam telefon bimbit miliknya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat pegawai penyiasat jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, kira-kira jam 3 pagi pada 2 Jun lalu.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 bagi setiap pertuduhan.

Peguam Baharudin Baharim yang mewakili tertuduh memohon jaminan RM4,000 bagi kesemua pertuduhan atas alasan anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap dan menyara empat anak, termasuk tiga yang masih bersekolah.

Beliau turut memaklumkan bahawa tertuduh baharu selesai menjalani pembedahan kanser dan telah ditinggalkan oleh suami susulan kes berkenaan. Selain itu, beliau memohon mahkamah mengeluarkan perintah melarang pengadu daripada mengeluarkan kenyataan kepada media.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM5,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 6 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sinar Harian pada 3 Jun lalu melaporkan bahawa wanita berkenaan direman selama dua hari oleh Mahkamah Majistret selepas disyaki mengugut dan menyebarkan gambar bogel madunya yang juga seorang guru pada Mac lalu.

Menurut sumber, ibu kepada empat anak itu ditahan kira-kira jam 10.15 malam pada Ahad di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) oleh sepasukan polis.

“Wanita itu sebelum ini diklasifikasikan sebagai individu dikehendaki untuk siasatan susulan laporan yang dibuat oleh madunya, seorang guru berusia 47 tahun.

“Guru terbabit membuat laporan polis selepas bapanya di Klebang memaklumkan menerima sepucuk surat yang disertakan dengan gambar bogel anak perempuannya dan menantunya,” katanya.