PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini diberitahu, Datuk Seri Najib Razak mempunyai peluang untuk mendapatkan bukti tambahan mengenai Titah Adendum ketika memohon kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman, seandainya usaha wajar atau due diligence' sudah pula dilakukan.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dalam hujahannya berkata, bagaimanapun bekas Perdana Menteri itu gagal menunjukkan sebarang bukti bahawa usaha wajar telah pun diambil untuk mendapatkan dokumen berkenaan.
Titah Adendum itu dikatakan diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan Najib yang juga bekas Ahli Parlimen Pekan menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
"Adalah jelas bahawa anak responden, Datuk Mohamad Nizar, yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang, boleh sahaja mendapatkan adendum itu melalui usaha wajar yang munasabah, memandangkan beliau kerap menghadiri mesyuarat dan menghadap Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah .
"Namun begitu, adendum itu hanya diperoleh selepas keputusan Mahkamah Tinggi (yang menolak kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman Najib)," katanya.
Mohd Dusuki berkata demikian pada prosiding rayuan Peguam Negara terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan rayuan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman berhubung Titah Adendum di Mahkamah Tinggi dan mengemukakan bukti baharu.
Bukti baharu itu membabitkan afidavit Mohamad Nizar yang memasukkan sesalinan Titah Adendum yang diterimanya dari Pejabat Sultan Pahang, yang pada mulanya dilarang untuk digunakan tanpa perkenan Sultan Pahang.
Sementara itu, Mohd Dusuki berkata, Titah Adendum itu kekurangan kesahihan rasmi kerana tidak mempunyai cap mohor rasmi atau tandatangan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Beliau berkata, dokumen itu juga dialamatkan kepada bekas Peguam Negara yang kini Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh dan bukannya kepada Ketua Pengarah Jabatan Penjara.
"Dokumen itu juga tidak mempunyai tandatangan Menteri Wilayah Persekutuan dan berbeza secara ketara dari segi format dan struktur berbanding perintah pembebasan awal," katanya.
Mohd Dusuki berkata, penghakiman minoriti oleh Mahkamah Rayuan (yang menolak rayuan Najib) adalah betul dalam mendapati bahawa tiada usaha sewajarnya telah dilakukan.
Katanya, Najib juga tidak cuba untuk menghubungi Istana Pahang bagi mengesahkan ketulenan dokumen tambahan yang dilampirkan bersama perintah utama pada 29 Januari 2024.
Pada peringkat itu, Hakim Datuk Hanipah Farikullah mencelah dan berkata afidavit Mohd Nizar yang menyokong bukti baharu telah difailkan selepas keputusan Mahkamah Tinggi kerana beliau (Mohamad Nizar) perlu mendapatkan perkenan daripada Sultan Pahang untuk menggunakan salinan dokumen tambahan dalam prosiding mahkamah.
Bagaimanapun, Mohd Dusuki berkata walaupun Najib berada di Penjara Kajang tetapi beliau dibenarkan menggunakan semua kemudahan untuk menghubungi pihak berkuasa.
"Sesiapa yang mendakwa kewujudan dokumen tambahan itu mestilah membuktikannya," katanya.
Sementara itu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhujah, Peguam Negara sepatutnya mempunyai akses dan kuasa yang diperlukan untuk mengesahkan perintah tambahan dengan Istana Pahang.
Beliau berkata, Jabatan Peguam Negara sudah pun mengetahui mengenai perintah tambahan itu memandangkan ia telah dialamatkan secara langsung kepada bekas Peguam Negara ketika itu.
"Kemudian, melalui sepucuk surat bertarikh 13 Disember 2024 (di luar tempoh yang dibenarkan oleh Mahkamah Rayuan), Peguam Negara telah menulis kepada Mahkamah Rayuan untuk memohon lanjutan masa bagi menjawab afidavit responden.
"Tambahan pula, perayu telah memilih untuk campur tangan dengan mengemukakan satu afidavit bertarikh 3 Januari lalu yang tidak mengesahkan mahupun menafikan ketulenan salinan perintah tambahan berkenaan yang dikemukakan responden melalui afidavit Mohamad Nizar.
"Sebaliknya, afidavit hanya mengemukakan satu kenyataan media daripada Istana Negara yang, bagi tujuan permohonan ini, tidak mempunyai sebarang kepentingan atau kaitan dengan isu yang dibangkitkan," katanya.
Tambah beliau, Peguam Negara walaupun telah memohon lanjutan masa, dengan sengaja telah gagal mengambil pendirian berkenaan kewujudan perintah tambahan (selepas pemfailan permohonan untuk mengemukakan bukti tambahan).
Pada 28 April lalu, Peguam Negara berjaya mendapat kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan, yang membenarkan rayuan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.
Ia bagi perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab serta mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh Januari tahun lalu.
Pendengaran rayuan di hadapan panel tiga Hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim yang bersidang bersama-sama Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah bersambung 9 Julai ini.