Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Hasnah Hashim ambil alih tugas sementara Ketua Hakim Negara


PUTRAJAYA: Hakim Besar Malaya, Hasnah Hashim yang kini hakim paling kanan dalam badan kehakiman, mencipta sejarah hari ini apabila menerajui tiga pangkat tertinggi secara serentak.

Hasnah, yang jawatannya adalah ketiga tertinggi dalam hierarki kehakiman, juga akan menyandang dua jawatan utama susulan persaraan wajib ketua hakim negara dan presiden Mahkamah Rayuan.


Bekas ketua hakim negara, Tengku Maimun Tuan Mat bersara wajib Isnin lalu, disusuli Presiden Mahkamah Rayuan, Abang Iskandar Abang Hashim, semalam.

Kedua-duanya mengosongkan pejabat mereka pada ambang ulang tahun ke-66, iaitu usia wajib bersara untuk hakim.

Hasnah sendiri mencapai usia persaraan pada 13 Mei lalu, tetapi mendapat lanjutan enam bulan yang membolehkannya terus memegang jawatannya sehingga 14 Nov ini.

Peguam A Srimurugan berkata, Hasnah menyandang dua jawatan tertinggi itu disebabkan kesan Seksyen 8 dan 9 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 yang disifatkannya keadaan “tidak pernah berlaku sebelum ini”.

Hasnah akan menjalankan tugas dan fungsi kedua-dua jawatan sehingga diisi secara tetap.

“Sebelum ini, ketua hakim negara atau presiden Mahkamah Rayuan pernah menjalankan tugas hakim besar Malaya.

“Bagaimanapun, belum pernah pentadbir kehakiman junior menyandang dua jawatan tertinggi,” katanya kepada FMT.

Antara tugas ketua hakim negara dan presiden mahkamah rayuan adalah memilih hakim bagi mendengar rayuan kes jenayah serta sivil, selain permohonan lain di mahkamah berkenaan.

Buat masa ini, tidak jelas siapa yang bakal dipilih untuk dua jawatan utama itu.

Perkara 122B(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan pelantikan oleh Yang di-Pertuan Agong itu dibuat atas nasihat perdana menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-raja.

Majlis Raja-raja bakal bersidang dalam tempoh dua minggu.

Menurut undang-undang, Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) ditubuhkan bawah Akta JAC 2009, mencadangkan calon kepada perdana menteri untuk pelantikan ke semua jawatan pentadbiran dalam kehakiman.

Tidak diketahui sama ada JAC ada memberikan sebarang cadangan atau siapa yang mungkin menjadi pilihan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim untuk dua jawatan utama itu.

Sementara itu, peguam Salim Bashir, berkata dua jawatan utama itu mesti diisi secepat mungkin supaya fungsi dua mahkamah berkenaan tidak terjejas.

“Tahun lalu, pejabat hakim besar Malaya dibiarkan kosong selama sembilan bulan, sebelum Hasnah dilantik pada November,” kata Salim yang juga presiden Badan Peguam.

Menurutnya, sebagai penyandang ketua hakim negara, Hasnah mungkin boleh mengadakan mesyuarat bulanan JAC bagi mengisi kekosongan itu secepat mungkin.

Bagaimanapun, dua tempat dalam panel sembilan ahli itu kini kosong disebabkan persaraan dua hakim kanan terbabit.