Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Tauke ayam proses terkenal Kelantan ditahan miliki 90kg dadah



KOTA BHARU: Polis Kelantan menahan pasangan suami isteri dan merampas 90 kilogram (kg) dadah jenis ganja mampat dan bunga ganja bernilai RM3.1 juta yang dibungkus dalam paket bungkusan kacang gajus di Kuala Krai dan Pasir Puteh awal pagi kelmarin.

Kedua-dua suspek berusia 31 dan 49 tahun ditahan jam 4 pagi di Jalan Padang Sembilan, Kuala Krai sebelum rampasan seterusnya dilakukan di kediaman suspek di Selsiing, Pasir Puteh jam 4 petang.


Suspek yang disyaki mendalangi kegiatan pengedaran dadah itu berselindung di sebalik peniaga ayam proses, manakala suaminya bekerja sebagai pemandu p-hailing.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata tangkapan dilakukan ketika anggota unit kereta peronda (MPV) Kuala Krai melakukan rondaan dan mengesan sebuah Proton X70 dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata, anggota polis kemudian mengekori kenderaan itu sebelum menahannya dan pemeriksaan mendapati terdapat pasangan suami isteri dalam kenderaan terbabit.

"Pemeriksaan lanjut menemui 110 bungkusan plastik yang didalamnya mengandungi tumbuhan kering dipercayai bunga ganja seberat 60.8 kilogram.

"Turut ditemui ketulan mampat tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja seberat 6.95kg dan paket plastik mengandungi 150 biji pil yaba.

"Jumlah dadah jenis ganja yang dirampas di Kuala Krai sebanyak 67.75 kg dan 15 gram pil yaba membabitkan nilai RM2.37 juta," katanya pada sidang media hari ini.

Susulan rampasan dan tangkapan berkenaan, Mohd Yusoff berkata, pihaknya menyerbu rumah suspek di Pasir Puteh pada hari yang sama sebelum menemui 22kg tumbuhan kering mampat jenis ganja di dalam rumah berkenaan bernilai RM775,000.

"Kita juga merampas wang tunai, rantai leher dan barang kemas dengan nilai keseluruhan rampasan membabitkan dua lokasi adalah sebanyak RM3.1 juta.

"Siasatan mendapati pasangan suami isteri ini sudah bergiat aktif sejak lebih setahun lalu dengan berselindung di sebalik perniagaan lain.

"Kita juga percaya bekalan dadah terutama bunga ganja ini akan dihantar ke luar negara. Polis tidak menolak kemungkinan suami isteri ini adalah ketua kumpulan dan mereka juga mempunyai rangkaian lain memandangkan bekalan untuk dihantar ke luar negara," katanya.

Beliau berkata, hasil ujian air kencing mendapati suspek lelaki positif dadah jenis methamphetamine dan suspek wanita adalah negatif.

"Kedua-dua suspek ditahan reman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. Kedua-dua suspek juga mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah," katanya.

video;