PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meninggalkan program Picnic & Potluck lebih awal pagi ini selepas dilaporkan sedikit keletihan.
Program yang berlangsung di Tasik Putrajaya bersebelahan Yayasan Kepimpinan Perdana itu diadakan bersempena sambutan kelahiran ke-100 beliau pada 10 Julai lalu serta ulang tahun kelahiran ke-99 isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali pada 12 Julai.
Dr Mahathir yang juga Perdana Menteri keempat dan ketujuh tiba jam 7.45 pagi dengan memandu sendiri sebelum mengayuh basikal secara 'tandem' di sekitar tasik diiringi pegawai keselamatan khas.
Bagaimanapun, selepas menamatkan kayuhan sejauh kira-kira lapan hingga sembilan kilometer, beliau dilihat keletihan dan duduk berehat di kerusi seketika sebelum menuju ke meja sarapan yang disediakan.
Antara yang menunggu kehadiran beliau ialah Siti Hasmah, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar serta anak beliau, Tan Sri Mokhzani Mahathir.
Lebih 500 orang hadir memeriahkan program dengan membawa pelbagai makanan untuk bersarapan secara santai bersama keluarga di tepi tasik.
Dr Mahathir dilihat meninggalkan program kira-kira jam 10 pagi sebelum sempat beramah mesra dan bergambar dengan orang ramai yang hadir.
Menurut sumber, Dr Mahathir dan isteri beredar lebih awal untuk pulang dan berehat di rumah.
Sementara itu, Mokhzani berkata, bapanya tidak mengalami masalah kesihatan namun keletihan selepas menghadiri satu program semalam serta kurang tidur.
Katanya, pagi ini pula Dr Mahathir terus berkayuh agak jauh, jadi beliau berasa sedikit letih.
"Selepas bersarapan dan menjamah sedikit kuih serta kopi beliau kembali segar," katanya.
Menurut pembantunya, Sufi Yusoff kepada Astro AWANI, Tun Mahathir dimasukkan ke IJN sekitar jam 10 pagi selepas menghadiri program Picnic & Potluck di Putrajaya.
“Ya, betul-betul Tun keletihan. Jadi beliau tinggalkan majlis awal dan kini sedang berehat.