KUALA LUMPUR – “Tiada nama Tan Sri Ahmad Terriruddin Mohd Salleh sebagai calon Ketua Hakim Negara,” Demikian dedah salah seorang ahli Parlimen yang hadir pada pertemuan ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya semalam.
Ahli Parlimen itu menjelaskan, Anwar memberitahu nama Terri (Terriruddin) tiada dalam senarai untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi mengisi kekosongan jawatan dalam institusi kehakiman.
Penjelasan itu dikatakan diterima baik ke semua ahli Parlimen PH selepas sesi soal jawab di antara mereka dan Perdana Menteri.
“Sah nama Terri tidak ada dalam senarai Perdana Menteri kepada Agong. Tidak ada nama Terri untuk Ketua Hakim atau Presiden Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Besar Malaya atau Mahkamah Besar Sabah dan Sarawak.
“Tidak ada nama Terri, kenapa tiada? Itu kena tanya Perdana Menteri sendiri,” katanya lapor Utusan.
Ahli Parlimen itu berkata demikian ketika dihubungi akhbar berkenaan sebaik selesai sahaja pertemuan itu semalam.
Isu pelantikan Ketua Hakim menjadi topik perbincangan pada petang semalam membabitkan Perdana Menteri dan juga Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH).
Dalam pertemuan itu juga turut menyentuh isu kebocoran dokumen didakwa minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) yang tersebar dalam talian beberapa hari lalu, namun ahli Parlimen berkenaan enggan mengulas lanjut mengenai kesahihan dokumen berkenaan.
Minit yang tersebar itu menunjukkan nama Terrirudin yang dikaitkan dengan pelbagai salah laku serius didakwa dicalonkan sebagai Ketua Hakim Negara.
Sementara itu, Anwar menyifatkan pertemuannya dengan ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) sangat bagus.
Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan apakah perkara-perkara yang dibincangkan menerusi pertemuan itu yang berlangsung selama satu jam setengah.
“Sangat bagus, Saya nak pergi Shah Alam,” kata Anwar ringkas sebaik didekati sekumpulan pengamal media ketika keluar dari Kompleks Seri Perdana.
Anwar hanya membuka tingkap kenderaan dan menunjukkan isyarat tanda bagus dan hanya menyebut ‘very good’ dan ‘Shah Alam’ sebelum beredar.
Media sebelum ini melaporkan, Anwar dijangka mengadakan pertemuan dengan semua Ahli Parlimen PH dipercayai bagi membincangkan isu-isu semasa yang berlegar ketika ini.
Difahamkan, pertemuan itu bagi memperkukuhkan persefahaman dan menjelaskan beberapa termasuk isu pemilihan Ketua Hakim Negara.
Manakala Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil ketika ditemui di luar perkarangan bangunan itu pula mengesahkan isu pelantikan Ketua Hakim Negara antara perkara utama dibincangkan dalam pertemuan itu.
Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, taklimat diberikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Beliau yang juga Ketua Penerangan PKR berkata, taklimat itu berkaitan Perkara 125 dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
“Azalina juga hadir untuk memberi penjelasan tentang perkara berkaitan Perlembagaan Persekutuan terutama Perkara 125.
“Ia juga termasuk pembentukan tribunal di antara hakim dan beberapa perkara yang berkaitan,” katanya.
Perkara 125 menggariskan pelantikan, tempoh perkhidmatan dan pemecatan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, termasuk Ketua Hakim Negara.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, segala perbincangan yang dibawa dalam pertemuan itu sangat diterima baik oleh Ahli Parlimen yang hadir.
“Kita percaya apa yang telah disampaikan oleh Perdana Menteri diterima baik oleh Ahli
Parlimen PH,” katanya.
Katanya, maklumat terperinci mengenai perkara itu akan dibuat pada sidang media pasca Kabinet Rabu ini.