KULIM: Tidak ada jalan lain melainkan perlunya memenangkan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar sebagai Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat yang baharu, biarpun beliau adalah anak kepada presiden parti, kata Datuk Seri Rafizi Ramli.
Menteri Ekonomi itu berkata, biarpun di atas kertas beliau sedang mempertahankan jawatan itu, namun jika Nurul Izzah tewas, perkara itu dikhuatiri akan dijadikan naratif atau polemik bahawa anggota parti telah menolak presiden sendiri iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Rafizi berkata, beliau sendiri akur itu adalah satu-satunya keputusan yang akan dicapai pada akhir pemilihan, biarpun mungkin ramai anggota parti di peringkat akar umbi yang berpendirian sebaliknya.
“Kalau Izzah kalah, apa mesej kepada rakyat? Mesejnya ialah anggota parti sendiri telah menolak Anwar. Sebab itu Izzah mesti menang. Kalau kalah, kita akan masuk pilihan raya umum dalam keadaan tak boleh berdepan dengan pembangkang, serta polemik politik yang akan ada di dalam dan luar kerajaan.
“Undilah Nurul Izzah, sebab tak boleh ada keputusan yang lain. Macam mana pun pilihan peribadi, tak boleh ada keputusan berlainan, kalau Izzah tak menang, (bermaksud) Anwar ditolak,” katanya sewaktu berucap pada siri Jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi Dalam Ujian Rakyat (HIRUK) di Kedah, pada Isnin.
Rafizi berkata, biarpun beliau berisiko untuk kehilangan jawatan dan kuasa, namun bagi dirinya lebih penting untuk memastikan PKR terus menjadi sebahagian daripada parti pemerintah bagi membolehkan agenda reformasi itu diteruskan.
“Itu pendekatan saya kali ini. Tak kisah. Cuma saya tak mahu kita masuk pemilihan ini, tiba-tiba kalah besar dalam PRU. Yang dekat atas itu tidak apa, tak jadi Menteri wakil rakyat tidak apa. Saya kesian kepada anda (anggota dan jentera parti) semua. Bila kena kempen muka di hadapan ini yang akan turun dengar ceramah tiap-tiap malam.
“Tapi dalam kedudukan saya sebagai (penyandang) Timbalan Presiden, bila Izzah masuk bertanding, kalau nak parti berada dalam keadaan baik, kita tidak boleh ada keputusan lain daripada Nurul Izzah menang. Kalau Izzah menang, sokong dan bantulah dia kerana beban yang dia akan tanggung beban yang sangat berat dalam keadaan semua ini berlaku,” katanya lagi.
Beberapa pemerhati politik berpandangan peluang untuk Rafizi mempertahankan jawatan itu tipis selepas sebahagian besar calon ketua cabang yang dilihat sebagai pasukan beliau tewas, dan bakal memberi kesan kepada undian untuk pimpinan pusat.
Dalam pada itu Rafizi turut memberi peringatan bahawa rakyat sedang memerhati, dan gerakan secara tersusun untuk meletakkan Nurul Izzah di jawatan nombor dua parti itu tidak akan lari daripada naratif nepotisme.
Mengambil sejarah nepostisme yang berlaku di negara Cuba dahulu, beliau berkata, tindakan presiden Fidel Castro yang melantik adiknya sendiri sebagai sebahagian daripada pentadbiran, menyebabkan wujudnya pihak yang cuba mengambil kesempatan demi kepentingan sendiri.
“Fidel Castro ketika hidup dalam buangan di Mexico, berkawan dengan Che Guevara, seorang revolusionari. Dalam kumpulan Fidel Castro itu, ada adiknya Raul Castro. Selepas itu akhirnya Fidel Castro berjaya menumpaskan Jeneral Batista, dan mengambil alih jawatan Presiden.
“Untuk memahamkan budak-budak yang tidak faham kenapa rakyat akan tanya ... kenapa ada isu nepotisme … Fidel Castro orang nombor dua dia adalah Che Guevara (Menteri Industri), Raul Castro jadi Menteri Pertahanan. Ada asakan dan persaingan pengaruh siapa dapat siapa.
“Tak dapat pergi ke Fidel Castro, orang itu pergi ke Raul Castro. Kalau rasa Che Guevara macam berlainan pandangan dengan Fidel Castro, dia bisik dekat Raul Castro,” kata Rafizi, dan menjelaskan akhirnya revolusi untuk membebaskan rakyat Cuba daripada belenggu kemiskinan langsung tidak tercapai.
Justeru Rafizi menegaskan, segala tindak tanduk anggota parti, termasuk pihak yang beliau sifatkan 'lebih sudu daripada kuah', akan diteliti dan dihakimi, dan akhirnya akan memberi kesan kepada peluang mereka dalam Pilihan Raya Umum ke-16