Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Safiq Rahim pula diserang ketika memandu dekat Johor Bharu



Kuala Lumpur: Selepas digemparkan dengan insiden jenayah menimpa dua tonggak negara, seorang lagi pemain bola sepak kebangsaan dilaporkan diserang individu tidak dikenali, malam tadi.

Menurut sumber, pemain bola sepak bagi pasukan Johor Darul Takzim (JDT), Safiq Rahim, 37, didatangi dua lelaki menaiki motosikal selepas mengambil barang di Pusat Latihan JDT Sri Gelam, Johor Bahru, Johor, kira-kira jam 10 malam tadi.

Difahamkan semasa berada di Jalan Sri Gelam menghala ke Pantai Lido, kereta Honda City dipandu Safiq dihampiri sebuah motosikal dinaiki dua lelaki.


"Pembonceng motosikal itu kemudian mengeluarkan tukul besi sebelum mengetuk cermin bahagian belakang kereta dipandu Safiq menyebabkan dia memberhentikan kenderaan.

"Dua lelaki terbabit kemudian yang berhenti menunjukkan tukul sebelum Safiq mengundurkan keretanya dan beredar dari lokasi kejadian," katanya.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan cermin bahagian belakang kereta pemain bola sepak kebangsaan terbabit pecah.

Safiq kemudian membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Larkin kira-kira jam 11 malam tadi.