Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

PPBM Putrajaya lumpuh, Ketua Bahagian dan 120 ahli masuk UMNO



KUALA LUMPUR, 1 Okt – Ketua Bersatu Bahagian Putrajaya Datuk Seri Dr Erwan Mohd Tahir mengumumkan keluar dari parti itu berkuatkuasa serta merta dan kembali menyertai UMNO.

Katanya keputusan itu dibuat kerana beliau yakin dan percaya bahawa hanya UMNO sahaja yang dapat memartabat dan mempertahankan hak keistimewaan orang Melayu, Perlembagaan Malaysia dan Raja-Raja Melayu seperti mana yang dinyatakan di dalam asas dan tujuan penubuhan UMNO dan juga setelah mengambil kira perkembangan politik semasa dan masa depan negara.

“Ini adalah masa yang tepat untuk kembali ke pangkuan UMNO setelah melihat parti ini berjaya menamatkan beberapa polemik politik yang telah menggugat kesejahteraan rakyat dan kestabilan ekonomi sewaktu pandemik COVID-19 yang membadai negara.

“Saya menyatakan sokongan penuh kepada Naib Presiden UMNO yang juga merupakan Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9.

“Berharap Perdana Menteri dapat menggalas tanggungjawab itu sebaik mungkin untuk kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya selepas sesi penyerahan borang tersebut kepada Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, sebentar tadi.

Turut bersama beliau untuk menyertai UMNO adalah kepimpinan tertinggi Bahagian Bersatu Putrajaya termasuk naib ketua bahagian, setiausaha bahagian, ahli jawatankuasa bahagian, kepimpinan Srikandi dan Armada serta lebih 120 orang ahli Bersatu Putrajaya.

Sementara itu, Erwan turut merakamkan ucapan ribuan terima kasih dan setinggi penghargaan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan kerana menerima permohonan mereka sebagai ahli UMNO Bahagian Putrajaya. 

– UMNO Online