Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

KJ minta Noor Hisham simpulkan angka kes harian pada jam 12 malam





KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan berharap masyarakat tidak obses dengan jumlah kes harian Covid-19 kerana indakator lain juga perlu diambilkira untuk mendapatkan gambaran sebenar mengenai pandemik itu.

Namun Khairy Jamaludin Abu Bakar berkata, Malaysia masih lagi mengikut saranan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) yang menyarankan agar kes harian di setiap negara dilaporkan kepada umum.

Cuma jelas beliau, ketika ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak lagi menumpukan kepada angka tersebut tiap-tiap hari.

“Kita ada beberapa negara yang sudah nyatakan bahawa dalam tempoh masa akan datang mereka tidak akan lagi melaporkan kes harian.

“Kita masih lagi ikut saranan WHO yang menyarankan agar kes harian dilaporkan. Cuma sekarang ini kita tidak menumpukan kepada angka tersebut tiap-tiap hari.

“Saya telah minta (Ketua Pengarah Kesihatan) Tan Sri Dr.  Noor Hisham Abdullah agar kita simpulkan angka itu sekali dengan indikator yang lain pada pukul 12 tengah malam supaya rakyat tidak obses dengan angka tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada wawancara secara langsung di Astro Awani di sini malam ini.

Khairy menambah, walaupun tidak memberi keutamaan lagi kepada jumlah kes harian, ia tidak bermakna beliau mengambil mudah atau tidak kisah tentang jumlahnya.

“Cuma ia perlu dibaca dengan angka-angka lain seperti jumlah kemasukan hospital, kematian, kemasukan ke ICU (Unit Rawatan Rapi) dan sebagainya.

“Itu memberi kita di KKM gambaran yang lebih tepat berkenaan dengan kedudukan pendemik ini,” katanya dalam wawancara berkenaan.

Sementara itu, Khairy juga meminta orang ramai melakukan ujian saringan kendiri sebelum kembali ke kampung halaman untuk bertemu keluarga.

Ini kerana jelas beliau, warga emas dengan penyakit kronik lebih terdedah kepada Covid-19.

Oleh yang demikian, katanya, mereka harus membuat ujian saringan kendiri atas rasa tanggungjawab walaupun ia tidak diwajibkan kerajaan.

Beliau mengulas keputusan kerajaan yang membenarkan rakyat Malaysia yang lengkap dua dos vaksin boleh merentas negeri termasuk pulang ke kampung halaman tanpa perlu mendapatkan kebenaran polis mulai esok.

Keputusan itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas penilaian risiko Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan kadar vaksinasi lengkap 90 peratus populasi dewasa di bawah Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK). 

– MalaysiaGazette