Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Kes lucuthak, hakim dapati harta UMNO dan 9 entiti tak bercanggah undang-undang



PUTRAJAYA: Kerajaan gagal melucut hak harta milik UMNO mencecah RM193 juta dan wang bernilai jutaan ringgit kepunyaan tujuh entiti lain selepas Mahkamah Rayuan hari ini, menolak rayuan pendakwa raya.

Tujuh pihak itu ialah dua entiti politik iaitu Badan Perhubungan UMNO Kedah dan Wanita MCA serta lima entiti perniagaan iaitu Perano Sdn. Bhd., K&Z Enterprise Sdn. Bhd., Binsabi Sdn Bhd., Habib Jewels Sdn. Bhd. dan Hattatex Trading.

Pendakwaan turut gagal melucut hak harta RM2,479,300.18 yang disita daripada Badan Perhubungan UMNO Pahang selepas membenarkan rayuan entiti politik itu.

Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang bersidang bersama Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Datuk Abu Bakar Jais secara dalam talian.

Ini bermakna, harta sembilan entiti tersebut yang disita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas didakwa mempunyai kaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), gagal dilucut hak oleh kerajaan.

Hakim Hadhariah ketika membacakan keputusan itu menyatakan, kesemua responden tidak menafikan menerima wang yang disalurkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak ke dalam akaun masing-masing dan melalui cek.

Dalam rayuan melibatkan Badan Perhubungan UMNO Pahang, mahkamah berpuas hati bahawa wang yang diterima daripada bekas Perdana Menteri itu kesemuanya telah dibelanjakan dan wang yang dimohon untuk dilucut hak itu adalah daripada sumber-sumber lain yang tidak bercanggah dengan undang-undang.

Ujar hakim itu, entiti perniagaan pula menyatakan, mereka tidak mempunyai pengetahuan berkaitan wang yang disalurkan oleh Najib maka tiada alasan untuk mengesyaki ia hasil daripada aktiviti haram kerana wang yang diterima itu sebagai bayaran kepada perkhidmatan yang ditawarkan kepada beliau.

Menurut Hakim Hadhariah, isu yang dibangkitkan oleh pihak pendakwaan ialah wang melibatkan dana 1MDB yang diterima daripada Najib merupakan hasil aktiviti haram, satu kesalahan predikat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Namun demikian, pihak pendakwaan terlebih dahulu perlu membuktikan di bawah imbangan kebarangkalian bahawa bekas Perdana Menteri telah melakukan kesalahan predikat.

Bagaimanapun, panel itu berpuas hati dengan dapatan Mahkamah Tinggi bahawa afidavit yang diikrarkan oleh pegawai penyiasat dalam kes Najib hanya mendedahkan pergerakan wang yang didepositkan keluar dari akaun beliau dan kenyataan ini tidak mencukupi bagi membuktikan dakwaan wang itu hasil aktiviti haram.

Ujar Hakim Hadhariah, walaupun dengan menganggap wang yang diterima daripada Najib itu hasil daripada aktiviti yang tidak sah, Mahkamah Tinggi memutuskan duit itu masih tidak boleh dilucut hak.

Panel itu bersetuju dengan hujahan responden bahawa wang yang diterima pada 2012 dan 2013 itu telah dibelanjakan selepas tempoh lima tahun manakala wang yang disita pada 2018 adalah dari sumber yang sah.

Ujar Hakim Hadhariah, tidak mungkin wang yang dimasukkan ke dalam akaun responden yang kemudian disita pada 2018 adalah daripada cek yang dikeluarkan oleh Najib.

Berkaitan rayuan pendakwa raya terhadap tiga entiti politik, panel tersebut menolak rayuan itu selepas berpuas hati mereka tiada alasan untuk mengubah keputusan Mahkamah Tinggi.


Menyentuh rayuan terhadap entiti perniagaan, Mahkamah Rayuan turut berpuas hati wang yang diterima itu adalah berkaitan bayaran bagi perkhidmatan yang ditawarkan kepada Najib yang disokong melalui bukti berdokumen seperti invois.

Menurut Hakim Hadhariah, mahkamah menerima keterangan responden-responden bahawa mereka tidak mempunyai pengetahuan berkaitan wang yang disalurkan oleh Najib maka tiada alasan untuk mengesyaki ia diperolehi dengan cara yang tidak sah.

Panel itu bersetuju dengan dapatan hakim bicara bahawa adalah tidak adil untuk melucut hak harta itu tanpa bukti bahawa wang tersebut hasil aktivti haram.

Pendakwaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk melucut hak wang RM192,965,413.61 milik UMNO, Wanita MCA (RM300,000) dan Badan Perhubungan UMNO Kedah (RM1.05 juta).

Rayuan turut dikemukakan terhadap Perano (syarikat menjual hijab) dan Binsabi iaitu syarikat pembekalan khemah masing-masing membabitkan jumlah RM337,634.78 dan RM827,250, Habib Jewels (RM100,000), K&Z Enterprise (RM138,359.60) dan Hattatex (RM111,590).

Peguam-peguam terdiri daripada Datuk Hariharan Tara Singh, Syazwani Mohd. Zawawi, Datuk Ben Chan, Syazwani Mahmud, Thevini Nayagam, Habizan Rahman, G. Nadaraja, Mohd. Khalil Tajuddin, Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar, Mohd. Shukri Ahmad Mansor dan Khoo Guan Huat.

Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi, Kamal Baharin Omar, Samihah Rhazali, Nik Haslinie Hashim, Mahadi Abdul Jumaat, Maziah Mohaide, Abdul Rashid Sulaiman dan Farah Yasmin Salleh mewakili pihak pendakwaan. 

– UTUSAN ONLINE