Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Ketua kartel bolot projek kerajaan berdepan penjara 483 tahun


Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk yang dipercayai ketua sindiket kartel projek kerajaan berdepan penjara sehingga 483 tahun selepas didakwa di Mahkamah Sesyen pada Rabu.

Adly Kamaruddin yang didakwa memonopoli projek-projek kerajaan menerusi tender atau sebut harga bernilai lebih RM3.8 billion itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap 69 pertuduhan yang dibacakan.

Menurut Kosmo, ahli perniagaan berusia 47 tahun itu didakwa telah melakukan persubahatan dengan mengarahkan seramai lapan orang pekerjanya untuk memalsukan 69 dokumen pelbagai projek dengan tujuan menipu Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia.

Kesemua projek itu termasuk projek jalan, pembinaan kolej dan penghawa dingin di beberapa universiti awam, bangunan hospital, rumah kakitangan Felda serta pemasangan mekanikal kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kuala Lumpur, Selangor dan Bentong, Pahang.

Dia didakwa melakukan sindiket tersebut bermula Jun 2019 hingga September 2020 di sebuah rumah banglo, Bandar Baru Bangi.

Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, sekiranya disabitkan kesalahan bagi semua pertuduhan.

Serbuan yang dilakukan SPRM pada April lalu menjumpai RM3.5 juta wang tunai di kediamannya beserta kenderaan mewah bernilai RM15.7 juta. Turut disita, nilai hartanah banglo, rumah kedai dan pejabat bernilai RM29 juta.

Kemewahan yang ditunjukkan oleh Datuk yang merupakan ketua sindiket ini amat luar biasa. Selain dari memiliki nilai hartanah dan wang tunai yang luar biasa jumlahnya, suspek memiliki beberapa kereta mewah, sebuah kapal mewah dan dua buah helikopter.


Modus operandi kumpulan kartel adalah membuka lebih 150 buah syarikat dengan setiap individu yang digunakan nama sebagai pengarah syarikat dibayar gaji antara RM5,000.00 hingga RM8,000.00 yang mana kesemua syarikat dimiliki suspek.

Dipercayai 114 orang telah dijadikan ‘keldai’ yang mana nama mereka digunakan untuk membuka lebih 150 buah syarikat.

Hasil siasatan SPRM mendapati hampir kesemua syarikat yang digunakan menggunakan maklumat palsu dari segi kelayakan akademi, sijil profesional mahupun penyata kewangan untuk menyakinkan lembaga tender berhubung keupayaan syarikat-syarikat untuk melaksanakan projek.

Sumber: Kosmo