Kajian buktikan Sinovac berkesan menentang Varian Delta



Satu kajian berhubung keberkesanan dua dos vaksin Covid-19 untuk Sindrom Pernafasan Akut Teruk Koronavirus 2 (SARS-CoV-2) di Guangzhou, China baru-baru ini menunjukkan ia memberikan perlindungan mencukupi bagi menentang varian Delta yang mampu mengancam nyawa manusia di seluruh dunia, kata Pakar Vaksin Pharmaniaga Berhad Dr Ajit Pal Singh.

Dr Ajit berkata kajian itu, yang diketuai Pakar Epidemiologi di Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Guangzhou iaitu Zhong Nanshan, mendapati penggunaan vaksin CoronoVac keluaran Sinovac Biotech Ltd dan vaksin SARS-CoV-2 keluaran China National Biotech Group menunjukkan bahawa kedua-duanya lebih berkesan terhadap pesakit Covid-19 bergejala sederhana berbanding yang bergejala ringan.

“Kajian mendapati dua dos vaksin itu mencapai 59 peratus efikasi dalam menentang Covid-19 yang disebabkan oleh varian Delta dengan 70.2 peratus efikasi bagi kategori penyakit respiratori sederhana dan 100 peratus efikasi bagi kes teruk.

“Berdasarkan maklumat ini, hasil kajian didapati melebihi nilai ambang efikasi 50 peratus yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi mana-mana vaksin SARS-CoV-2,” menurutnya dalam artikel yang dikeluarkan kepada Bernama hari ini.

Dr Ajit Pal Singh

Dr Ajit berkata kajian itu dilakukan ke atas 628 peserta termasuk 153 pesakit Covid-19 yang disebabkan oleh varian Delta dan 475 kes kontak rapat di bandar tersebut yang berumur lingkungan 18 hingga 59 tahun.

Katanya 10 orang daripada mereka adalah pesakit tahap kritikal, enam bergejala teruk, 105 bergejala sederhana dan 32 bergejala ringan.

Dia berkata kajian itu turut mendedahkan bahawa pesakit dengan suntikan sekurang-kurangnya satu dos mempunyai tahap perlindungan terhadap jangkitan Covid-19 dengan tahap keberkesanan vaksin 13.8 peratus manakala kesemua 16 kes yang kritikal dan teruk masih belum menerima vaksin SARS-CoV-2.


“Menerusi kajian sama, saintis mendapati keberkesanan vaksin adalah lebih tinggi terhadap golongan wanita dan individu berumur lingkungan 40 hingga 59 tahun dengan kadar efikasi 72.5 peratus berbanding golongan lelaki serta individu dijangkiti Covid-19 yang bergejala sederhana,” katanya.

Dr Ajit berkata data itu menunjukkan bahawa terdapat keperluan untuk mempertingkat vaksinasi terhadap golongan wanita dan warga emas dalam program vaksinasi secara berterusan.

Katanya, negara yang berdepan kekurangan bekalan vaksin Covid-19 pula boleh membuat polisi dengan disokong penemuan berdasarkan kajian saintifik yang mungkin mengkehendaki seorang individu mendapatkan perlindungan dua dos vaksin terlebih dahulu sebelum berlakunya gelombang wabak baru.

-Bernama

Join our Telegram Channel
Telegram


Kajian buktikan Sinovac berkesan menentang Varian Delta Kajian buktikan Sinovac berkesan menentang Varian Delta Reviewed by Tun Carlos on September 14, 2021 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.