Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

MoU Kerajaan dan PH, wujudkan kerjasama "dwipartisan" -Hishammuddin



Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan persekutuan dan PH bertujuan mengembalikan kestabilan politik negara bagi menangani Covid-19 dan memulihkan ekonomi menerusi pendekatan kerjasama 'dwipartisan'.

Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussien berharap langkah yang diusahakan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob itu diterima baik semua pihak.

“Selain itu, memorandum persefahaman itu juga menasihati pembangkang supaya membangkang tidak hanya berteraskan pertimbangan politik, sebaliknya mempertimbang hasrat memastikan kestabilan (negara) supaya semua pihak boleh fokus kepada agenda lebih penting.

“Ia bukan untuk kuasa, tetapi membantu kita yang diberi amanah memimpin kementerian tertentu dan menerajui pentadbiran negara supaya fokus dan berusaha membawa negara keluar daripada Covid-19 secepat mungkin menerusi tiga teras berhubung kait dengan kesihatan, ekonomi dan kesejahteraan,” katanya dalam sidang media khas di Wisma Pertahanan di Kuala Lumpur.

Hari ini, kerajaan persekutuan dan PH melakar sejarah negara apabila buat pertama kali menandatangani MoU Transformasi dan Kestabilan Politik di Bangunan Parlimen.

MoU berkenaan yang membentuk satu kerjasama ‘dwipartisan’ dengan menjulang semangat 'keluarga Malaysia', mempunyai enam agenda merangkumi pemerkasaan pelan Covid-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembentukan jawatankuasa pemandu.

-Bernama