Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Majlis Peguam gesa Muhyiddin lapor polis individu desak campur urusan mahkamah



KUALA LUMPUR: Majlis Peguam Malaysia menggesa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menamakan pihak yang didakwa menekan beliau untuk mencampuri urusan mahkamah bagi melepaskan beberapa individu yang sedang berdepan tindakan undang-undang.

Presidennya, AG Kalidas berkata, laporan mesti dilakukan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan terhadap jenayah berkenaan.

“Perkara ini sangat membimbangkan dan telah melanggar beberapa kesalahan jenayah, menghalang proses keadilan termasuk salah guna kuasa jika benar berlaku.

“Laporan mesti dibuat kepada pihak berkuasa tanpa berlengah. Polis dan SPRM harus segera memulakan siasatan terhadap tuduhan-tuduhan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Dalam perutusan khas Perdana Menteri semalam, Muhyiddin mendakwa menerima tekanan beberapa pihak supaya mencampuri urusan mahkamah untuk membebaskan beberapa individu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu menegaskan tidak melayan tuntutan tersebut dan mengorbankan prinsip serta membelakangi sumpah jawatannya untuk menunaikan segala kewajipan dengan jujur.

Mengulas lanjut, AG Kalidas berkata, tindakan menghalang penjawat awam dalam menjalankan fungsi awamnya adalah kesalahan jenayah di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 21 Kanun Keseksaan merangkumi hakim dan pegawai mahkamah.

Selaras dengan Seksyen 202 Kanun Keseksaan pula menyatakan, seseorang yang percaya bahawa sesuatu kesalahan telah dilakukan wajib memberikan maklumat kepada pihak berkuasa dan kegagalan berbuat demikian sama dengan melakukan kesalahan.

Tambahnya, mereka yang mendekati Perdana Menteri supaya campur tangan bagi pihak mereka adalah melakukan pelanggaran atas kesalahan jenayah seperti diperuntukan Seksyen 25 Akta SPRM 2009 (Akta 694).


Akta itu menjelaskan, individu yang menawarkan sebarang janji atau habuan termasuk apa-apa berkaitan janji sokong politik perlu melaporkannya kepada SPRM tanpa bertangguh.

“‘Habuan’ di bawah seksyen 3(f) Akta 694 merangkumi sebarang layanan atau kebaikan dan ini termasuk perlindungan dari hukuman atau tindakan atau prosiding. Jadi, ini jelas dari undang-undang Perdana Menteri wajib untuk melaporkan kejadian seperti itu segera kepada SPRM,” katanya.

Dalam pada itu, sebagai tambahan kepada penyiasatan oleh pihak berkuasa, Majlis Peguam menyeru supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan.

“Ini adalah demi kepentingan masyarakat dan dalam keadaan apa pun, kebebasan sistem keadilan tidak boleh dikompromi. Tuntutan Perdana Menteri adalah tuduhan yang serius untuk meyakinkannya melanggar undang-undang dan salah guna kuasa.

“Hal ini mempunyai kesan terhadap kedaulatan undang-undang, pentadbiran dan keadilan dalam negara. Penyiasatan menyeluruh mesti dilakukan untuk mengetahui sejauh mana percubaan itu mengganggu sistem keadilan kita,” katanya.

-UTUSAN