Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Ahli Parlimen ingkar arahan MKT perlu diambil tindakan disiplin -Johari



KUALA LUMPUR : UMNO mesti mengambil tindakan disiplin terhadap mana-mana ahli parlimennya yang tidak mematuhi keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) menarik sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata ahli Parlimen daripada UMNO, mesti patuh kepada keputusan melalui mandat Perhimpunan Agung itu kerana parti sudah memberi justifikasi jelas berkenaan penarikan sokongan yang berpunca daripada kegagalan kerajaan PN menguruskan krisis COVID-19 dan penyanggahan dibuat terhadap titah Yang di-Pertuan Agong.

Beliau berkata, setakat ini 14 ahli Parlimen UMNO telah membuat keputusan untuk patuh kepada keputusan parti tetapi selebihnya masih belum menzahirkan pendirian mereka.

Tegasnya, UMNO mesti berlaku adil dan tidak bersikap berat sebelah kepada lebih tiga juta ahlinya kerana sebelum ini ahli yang tidak taat kepada arahan parti dikenakan tindakan disiplin, selaras dengan Perkara 20.8 (b) Perlembagaan UMNO yang menyatakan setiap ahli hendaklah mengikut perintah parti.


"Tindakan disiplin mesti diambil terhadap mana-mana ahli parti yang melanggar keputusan parti secara terang-terangan. Hanya dengan itu parti ini akan dihormati oleh ahli-ahli dan rakyat di luar sana.

"UMNO lebih besar daripada mana-mana individu dan tiada ahli yang lebih penting daripada parti dan tidak kira apa dan berapa tinggi jawatan kerajaan yang dipegang oleh individu tersebut," katanya yang juga bekas Menteri Kewangan II, dalam kenyataan, hari ini.

Selasa lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Mesyuarat Khas MKT sebulat suara menarik sokongan kepada kerajaan PN dan Muhyiddin sekaligus mendesak Perdana Menteri berundur secara terhormat kerana sudah hilang majoriti.

Serentak dengan itu, Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah meletak jawatan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, berkuat kuasa serta merta.

Johari yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan menegaskan UMNO perlu konsisten dalam menguruskan parti dan tidak boleh membenarkan mana-mana ahli menggunakannya untuk kepentingan diri atau menyelesaikan masalah peribadi.


Beliau berkata, mana-mana pihak yang mempunyai masalah peribadi, sepatutnya menyelesaikan masalah mereka sendiri tanpa melibatkan parti dan prinsip tidak bersalah hingga dibuktikan sebaliknya, mesti dijadikan pegangan.

Bagaimanapun katanya, apabila parti sudah membuat keputusan, setiap ahli mesti patuh kepada keputusan tersebut.

"Tidak ada gunanya untuk UMNO kekal bersama-sama kerajaan PN dengan kes harian dan jumlah kematian COVID-19 mencecah rekod tertinggi hampir setiap hari dan rakyat Malaysia serta perniagaan di luar sana yang sangat terkesan dengan kegagalan pengurusan krisis COVID-19 ini selepas 17 bulan PN memerintah.

"Keputusan kita hari ini bukan sahaja akan dapat membantu negara dan rakyat tetapi juga akan menentukan nasib parti dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan diadakan selewat-lewatnya pada Mac 2023.

"UMNO mesti dibersihkan dan perlu dihormati oleh semua ahli dan tiada mana-mana individu lebih besar daripada parti ini," katanya.


Sementara itu, Johari sekali lagi mengulangi pendiriannya, negara memerlukan seorang Perdana Menteri interim yang mempunyai kepimpinan yang baik dan cekap untuk memastikan imuniti kelompok melalui vaksinasi dapat dicapai secepat mungkin bagi memberi laluan kepada PRU untuk menyelesaikan kebuntuan politik

Katanya, Perdana Menteri interim itu juga perlu membantu mengurangkan beban yang ditanggung rakyat dan perniagaan kecil dan sederhana akibat kegagalan Kerajaan PN, selain mengembalikan dan mengekalkan keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara bagi memastikan mereka kekal beroperasi di Malaysia.

"Perdana Menteri interim ini juga perlu menghormati kepentingan Parlimen dan memahami peranan Raja Berpelembagaan, sebagai semak dan imbang ke atas pentadbiran negara," katanya.

-BHarian