Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Laporan polis terhadap Takiyuddin, dakwaan persenda titah Agong


KUALA LUMPUR: Pemuda Pakatan Harapan (PH) mendesak polis menjalankan siasatan terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Takiyuddin Hassan yang didakwa mempersenda Yang di-Pertuan Agong.

Ini susulan kenyataan beliau, Agong tidak menetapkan bila sidang Parlimen harus diadakan namun Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sudah mengumumkan bahawa sidang dewan rakyat itu boleh diadakan paling awal September atau Oktober ini.

Semalam, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berpandangan sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin untuk membahaskan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara kerana menyedari peranan pentingnya bagi membincangkan isu berkaitan Covid-19.

Ia disusuli kenyataan bersama Raja-Raja Melayu yang berpandangan tiada keperluan untuk darurat dilanjutkan selepas 1 Ogos dan menggesa Dewan Undangan Negeri (DUN) bersidang semula secepat mungkin.


Ketua Pemuda PH, Shazni Munir Mohd Ithnin, berkata pihaknya sudah meminta Pemuda PH di seluruh negara supaya membuat laporan polis berhubung kenyataan biadap dikeluarkan Takiyuddin dalam wawancara disiarkan menerusi Facebook Harakahdaily.net malam tadi.

Sebagai permulaan, Shazni yang juga Ketua Pemuda Amanah berkata tiga laporan polis dibuat serentak hari ini iaitu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, Kedah dan Melaka berhubung perkara itu.

“Sebagai seorang menteri yang tahu mengenai undang-undang, Takiyuddin sepatutnya mengambil masa untuk mengkaji titah Yang di-Pertuan Agong.

“Kamu (Takiyuddin) seorang menteri bukan budak sekolah, teliti dan tengok setiap patah titah baginda menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Negara dan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja,” dakwanya pada sidang media selepas membuat laporan di IPD Dang Wangi.

Shazni mendakwa, kenyataan Takiyuddin itu menunjukkan beliau bersikap sambil lewa.

“Kalau beliau mempunyai niat untuk memperlekeh dan mempertikaikan Yang di-Pertuan Agong, sebagai seorang menteri memang satu kesalahan amat berat. Wajar polis menjalankan siasatan terhadap menteri berkenaan (Takiyuddin),” katanya.

-FMT