Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Hong Kong tawar Tesla Model 3 untuk penerima vaksin


Pelbagai cara dan mesej telah pun digunakan oleh pihak kerajaan mahupun pihak swasta demi untuk menarik minat masyarakat untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

Di Hong Kong, syarikat-syarikat konglomerat besar dan yayasan amal mula menawarkan pelbagai inisiatif menarik termasuklah hadiah sebuah kereta baharu bagi penduduk yang sudah melengkapkan dua dos vaksin.

Menurut laporan daripada Bloomberg, yayasan amal CK Group baru-baru ini mengumumkan pemberian baucer membeli belah bernilai sehingga HK$20 juta (RM10.6 juta) menerusi cabutan bertuah, sementara syarikat pembangun New World Development Co. menawarkan subsidi bernilai HK$10 juta (RM5.31 juta) kepada pembeli berpendapatan rendah yang sudah menerima dok vaksin masing-masing.

Selain daripada itu, dua firma utama Hong Kong iaitu Sun Hung Kai Properties Ltd dan Henderson Land Development Co. masing-masing menawarkan hadiah berupa peranti pintar iPhone dan bar emas untuk dibawa pulang.

Orang ramai berpusu-pusu merebut peluang vaksinisasi demi hadiah menarik



Manakala syarikat hartanah Goodman Group pula menawarkan hadiah cabutan bertuah bernilai sehingga HK$1 juta (RM530,000), di mana hadiah utama adalah sebuah Tesla Model 3 yang bernilai HK$500,000 (RM265,318).

Insentif yang diumumkan oleh perniagaan tempatan ini bertujuan untuk menarik minat masyarakat mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

Menurut kenyataan daripada kerajaan tempatan, sebanyak 34,600 orang telah pun menempah slot suntikan vaksin BioNTech dan Sinovac dalam tempoh 24 jam pada Selasa lalu.

Namun berdasarkan laporan COVID-19 Vaccine Tracker oleh Bloomberg, hanya 1.5 peratus sahaja daripada 7.5 juta populasi rakyat Hong Kong telah menerima suntikan vaksin penuh, jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan London dan Singapura.


Sebelum ini, kerajaan Hong Kong mengumumkan kempen menggalakkan imunisasi menerusi penawaran cuti berbayar kepada penjawat awam yang telah disuntik, serta mengenakan sekatan tambahan kepada penduduk yang masih lagi belum disuntik.

Ia dibuat setelah sesetengah penduduk mempersoalkan langkah pentadbiran yang hanya memfokuskan kepada insentif berskala kecil dan mengelirukan, seperti membuka bar sehingga tengah malam hanya untuk penerima vaksin sahaja.

Sumber: Bloomberg