Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Terima deposit haram, Timbalan Ketua Bahagian PPBM berhadapan denda RM50 juta

Saspek bersama Presiden Bersatu

SHAH ALAM – Bekas tunang kepada seorang pelakon drama tanah air berdepan denda sehingga RM50 juta selepas didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menerima deposit haram bernilai RM132,900, empat tahun lalu.

Tertuduh, Razrul Anwar Rosli, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Herlina Sulaiman.

Mengikut pertuduhan, Razrul yang merupakan Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor Bahru itu didakwa bersama dua beradik iaitu Muhammad Faizal Mohd. Zazali, 32, dan Mohamad Fauzi, 29, yang telah dituduh sebelum ini menerima deposit berjumlah RM132,900 daripada seorang lelaki berusia 59 tahun tanpa suatu lesen yang sah.


Kesalahan itu dilakukan tertuduh yang merupakan ahli perniagaan di Jalan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang di antara Julai hingga September 2017.

Dia didakwa mengikut Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan boleh dihukum dibawa Seksyen 137 (2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda tidak melebihi RM50 juta atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Khairul Aisamuddin Abdul Rahman menawarkan jaminan RM70,000 susulan kegagalan tertuduh hadir untuk prosiding kali pertama sebelum ini dan terpaksa mengesannya sebelum hadir hari ini.


“Pendakwaan turut meminta supaya tertuduh melaporkan diri balai polis berhampiran dengan sebutan semula kes dilakukan bersama dengan dua tertuduh lain yang telah ditetapkan pada 25 Ogos depan,” katanya.

Peguam Nur Ermashawani Rusli mewakili tertuduh memohon ikat jamin dikurangkan susulan anak guamnnya yang masih bujang menyara ibunya berusia 61 tahun.

“Perniagaannya juga terkesan dan mengakui kesilapan tidak hadir sebutan sebelum ini susulan menetap di Johor Bahru dan memberikan akur janji untuk hadir prosiding selepas ini,” katanya.

Mahkamah menetapkan jaminan RM8,000 dan membenarkan syarat tambahan pendakwaan. 

– K! ONLINE