Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Harga barang binaan naik 100%, kontraktor tersepit


ARAU: Isu kenaikan harga bara­ngan asas pembinaan khusus­nya besi bukan perkara baharu, namun malangnya belum nampak tanda-tanda untuk pulih dengan difahamkan harga barangan itu melambung sehingga mencecah 100 peratus.

Difahamkan, harga besi dari RM18 sebatang naik sehingga RM32 sebatang yang mana dikatakan berterusan sehingga menyebabkan kumpulan sektor pembinaan rumah itu menanggung kerugian.

Dilema kontraktor tersebut mula dirasakan sejak awal tahun ini, selain mereka terpaksa berhadapan masalah kesukaran mendapatkan sesetengah jenis barangan binaan berikutan ke­kurangan stok di kedai-kedai.


Selain besi, harga barangan asas binaan lain seperti pasir di­dakwa meningkat dari RM60 kepada RM80 satu ela, paip dari RM30 kepada RM60 dan bagi sekampit, simen pula dari RM14 kepada RM18.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, seorang kontraktor yang berpengalaman 10 tahun membina rumah, Hazrol Hafiz Hashim, 35, berkata, harga besi menunjukkan kenaikan ketara yang dikatakan sentiasa meningkat selang dua atau tiga hari.

Katanya, kenaikan barangan asas binaan itu menyebabkan kontraktor terjejas teruk dan terpaksa menanggung kerugian.

Ujarnya, kenaikan harga barangan tersebut bukan sahaja di kedai-kedai sebaliknya sudah bermula daripada pembekal atau di kilang-kilang.


“Bagi kontraktor pembinaan rumah khususnya memang terjejas teruk dengan kenaikan harga barangan ini. Kebanyakan rumah dalam pembinaan itu dimaklumkan kepada pelanggan dengan sebut harga lama iaitu sebelum kenaikan barangan tersebut.

“Apabila harga barangan binaan itu naik, takkan kita hendak sebut harga lain pula kepada pelanggan. Selepas siap rumah, untung kadangkala tidak ada sebaliknya perlu mengeluarkan lebih modal khususnya untuk kos gaji lapan orang pekerja saya yang mencecah RM24,000 sebulan,” katanya.

Tambah Hazrol, selepas ter­kesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan Covid-19 tahun lalu, permintaan membina rumah semakin me­ningkat namun malangnya me­reka terpaksa pula berhadapan dengan masalah kenaikan harga barang binaan.


“Apabila permintaan tinggi, kami terpaksa pula berhadapan masalah kenaikan harga bara­ngan binaan yang tidak tahu bila akan selesai,” katanya.

Ujarnya,, mereka berharap kerajaan dapat melihat apa punca yang menyebabkan kenaikan tersebut seterusnya mengawal­nya.

“Jika tidak, nasib pada kontraktor terus terjejas kerana kenaikan harga barangan itu bukan sedikit tetapi melambung tinggi,” katanya.

Pada 15 Januari lalu, Utusan Malaysia melaporkan, selepas berbulan-bulan menghentikan kerja-kerja pembinaan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kontraktor terpaksa pula berdepan masalah kenaikan harga barangan asas pembinaan sehingga 30 peratus.

Selain membebankan kontraktor kelas F, kenaikan itu turut memberi kesan lebih besar kepada golongan kontraktor G7 yang sebelum ini mendakwa mengalami kerugian mencecah jutaan ringgit berikutan masalah tersebut. – UTUSAN ONLINE