Pengharaman UMNO tidak akan berlaku


Di sebalik dakwaan ada cubaan untuk mengharamkan Umno oleh pihak tertentu dalam kerajaan, beberapa pemimpin parti itu berpendapat tidak mudah untuk musuh politik mereka melakukannya.

Misalnya Setiausaha Veteran Umno, Mustapha Yaakub, yang yakin ia tidak berlaku walaupun menteri yang bertanggungjawab ke atas Jabatan Pendaftaran Negara (ROS) adalah orang yang sama dilantik menjadi setiausaha agung Bersatu iaitu Hamzah Zainudin.

Pun begitu Mustapha tidak menafikan mungkin ada usaha untuk membatalkan pendaftaran berkenaan apabila muncul dakwaan Umno memiliki akaun rahsia.


"Saya tak fikir Umno akan dibatalkan pendaftarannya oleh musuh politik melalui taktik jahat atau pun salah guna kuasa.

"Hamzah yang saya kenal, dia tidak akan berbuat demikian meskipun dia bukan lagi bersama Umno. Hamzah tak akan gunakan kedudukannya bagi mengenakan Umno, melainkan ada asas yang kukuh," katanya.

Untuk rekod Hamzah merupakan ahli parlimen Larut, Perak, yang memenangi kerusi berkenaan sebagai calon Umno-BN pada PRU ke-14 lalu.

Selepas Pakatan Harapan (PH) mendapat mandat rakyat untuk menjadi kerajaan Hamzah melompat meninggalkan Umno dan menyertai Bersatu. Dia kemudian dilantik menjadi setiausaha agung Bersatu apabila parti terbabit meninggalkan PH sekali gus menjatuhkan kerajaan yang ada.

Dengan kedudukannya yang kanan dalam parti serta diberi jawatan penting dalam kerajaan - menjaga Kementerian Dalam Negeri - Hamzah dianggap antara orang kepercayaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.


Seperti diketahui ramai, hubungan Umno dan Bersatu secara umumnya semakin menegang terutama selepas perhimpunan agung yang diadakan pada hujung Mac lalu.

"Saya menolak andaian sedemikian," kata Mustapha lagi kepada Malaysiakini.

Pada masa sama Mustapha menyatakan cubaan 16 individu untuk membatalkan pendaftaran Umno melalui mahkamah baru-baru ini juga gagal.

Tak nampak ada ruang

Spekulasi mengenai cubaan untuk menyah daftar Umno timbul selepas parti itu membuat keputusan untuk menamatkan kerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti.

Semalam pula Ketua Pemuda DAP Howard Lee menulis mengenai usaha yang didakwanya sedang berjalan - secara serentak - dari dalam dan luar Umno untuk menyah daftar parti terbabit.

Dakwa Adun Pasir Pinji itu lagi, pada masa sama Umno diberi tekanan oleh dua rakan parti mereka dalam Umno iaitu MIC dan MCA yang kini memberikan komitmen untuk kekal bersama kerajaan PN kecuali keputusan sebaliknya dicapai secara konsensus. 

Ketua Pengarah ROS Jasri Kasim kemudian mempersoalkan sumber maklumat yang didakwa Lee.


Mustafa Shah Abdul Hamid

Jelasnya, Lee juga tidak pernah berhubung dengan pihak ROS berhubung kenyataan yang dikeluarkan. 

Sementara itu, Exco Pemuda Umno Malaysia, Mustafa Shah Abdul Hamid, berkata tiada alasan kukuh untuk pihak tertentu yang memusuhi Umno mahu membatalkan pendaftaran partinya.

"Apa kesalahan yang telah Umno lakukan sehingga parti ini ingin dibatalkan pendaftarannya?

"Setahu saya urusan pentadbiran berjalan mengikut lunas-lunas ditetapkan.

"Jadi, saya tidak nampak ada ruang yang membolehkan pihak tertentu termasuk musuh politik mengambil tindakan terhadap Umno," katanya kepada Malaysiakini.

Jelasnya lagi, dakwaan pendaftaran parti itu cuba dibatalkan adalah bersifat spekulasi saja.

-MalaysiaKini


Join our Telegram Channel
Telegram


Pengharaman UMNO tidak akan berlaku Pengharaman UMNO tidak akan berlaku Reviewed by Tun Carlos on April 06, 2021 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.