Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Nurul Izzah mahu penjara dinaiktaraf, dakwa kerajaan abaikan kesihatan tahanan


Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar berkata peningkatan jumlah kes Covid-19 dari kluster penjara di Malaysia menunjukkan kepentingan menaik taraf keadaan pusat tahanan.

Katanya, sebelum ini beliau dimaklumkan bahawa Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang akan datang akan merangkumi proses menaik taraf depot imigresen di seluruh negara.

"Bagaimanapun, memandangkan keadaan baru-baru ini, rancangan seperti itu mungkin akan dikesampingkan.

"Masih perlu dilihat apakah ia akan muncul kembali pada sidang parlimen akan datang tetapi saya fikir kejadian-kejadian (kluster penjara) telah menunjukkan dengan jelas pentingnya menaik taraf pusat tahanan," kata Nurul Izzah.


Beliau bercakap dalam webinar Zoom yang bertajuk "Bersuara untuk mereka yang tidak dapat bersuara: Penduduk Rentan dan Covid-19" yang dihoskan oleh pertubuhan pengamal perubatan dan undang-undang, Medico-Legal Society of Malaysia (MLSM) hari ini.

Kata Izzah, kumpulan hak asasi manusia telah lama mengadu mengenai keadaan kebersihan dan hal-hal berkaitan kesihatan di pusat-pusat tahanan di Malaysia.

Jelasnya lagi, pakar-pakar juga telah memberi amaran bahawa jika tempat-tempat seperti itu tidak diperbaiki, ia boleh menjadi pusat pembiakan penyakit dan penularan wabak.

"Penjara telah menjadi bom jangka kesihatan selama bertahun-tahun. Tidak mengejutkan apabila kita melihat betapa cepatnya penyebaran (dari Covid-19) di sebalik jeriji besi,” katanya.


Nurul Izzah mengambil maklum "lonjakan menakutkan" dalam jangkitan yang pantas menular di penjara seperti kluster Tembok, kluster penjara reman Pulau Pinang dan kluster penjara Kepayan.

Pada 27 Oktober, separuh daripada semua yang diuji di penjara Kepayan di Sabah ternyata positif dan pada 28 Oktober, ada 1,566 kes dari kluster penjara Kepayan, katanya.

Pada sidang parlimen terakhir Julai lalu, beliau berkata beberapa ahli parlimen telah meminta Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin untuk memastikan penjara dilindungi dengan sewajarnya daripada jangkitan wabak.

"Kami diyakinkan berkali-kali bahawa terdapat prosedur operasi standard (SOP) namun lihatlah di mana kita sekarang," katanya.

Dengan mengabaikan penjagaan kesihatan tahanan, Nurul Izzah berkata negara ini telah mengecewakan mereka kerana pemenjaraan bukan hukuman mati.

"Terdedah kepada virus berbahaya tidak pernah menjadi sebahagian dari hukuman mereka," katanya. -MalaysiaKini