"Bukankah kerja gila sokong Belanjawan Muhyiddin selepas langkah DARURAT gagal?" -Wong Chen


Mesej dari Wong Chen, Ahli Parlimen Subang (PKR)
28 Oktober 2020

Warga Subang bertanya saya apakah pihak pembangkang akan menyokong Belanjawan? Jawapannya ya, dan juga tidak.

Untuk menangani pandemik Covid-19, kami ada tanggungjawab untuk memastikan penjawat awam mempunyai segala sumber kewangan yang diperlukan bagi 2021. Tapi apakah undian Belanjawan ini juga patut diguna untuk raih sokongan pembangkang, untuk terus mengangkat kabinet yang lemah lesu ini, untuk mereka terus mentadbir selama pandemik Covid-19 ini menular? 

Selepas kegagalan PRN Sabah dan juga ‘Langkah Darurat’, jawapan yang ada semestinya tidak.

Dalam tulisan ini, saya akan mengkontekskan isu-isu berkait undian Belanjawan dan beri beberapa cadangan bagaimana kita boleh maju ke hadapan. Saya cadang pimpinan Pakatan Harapan pertimbang menggunakan undian Belanjawan ini untuk mendapatkan persetujuan melaksana reformasi demokrasi yang amat-amat diperlukan.


Pertama, kita perlu lihat konteks politik. Kurang 3 hari lalu, Perdana Menteri yang sama berusaha untuk mengekang Parlimen dengan ‘Langkah Darurat’. Syukur, Tuanku Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja dengan penuh bijaksana telah tidak memberi perkenan dan telah menyelamatkan demokrasi. 

Maka bukankah ia kerja gila untuk terus berdamai dengan mengundi menyokong Belanjawan Perdana Menteri yang sama sejurus selepas Langkah Darurat-nya yang gagal? 

Rakyat keliru dengan reaksi tersentak ahli-ahli politik. Malah semalam UMNO telah memilih untuk terus menyokong Perdana Menteri, yang mengembalikan majoriti tipis PN untuk meluluskan Belanjawan. Jika UMNO terus dengan pendirian ini, PN nampaknya tidak lagi memerlukan sokongan pembangkang untuk Belanjawan.

Namun begitu, politik Malaysia ini penuh kejutan dan helah. Adakah UMNO akan menarik balik sokongan mereka minggu depan? Atau apakah ada musang berbulu ayam di kalangan pembangkang juga? 


Faktanya adalah kedudukan Perdana Menteri amat tergugat dan lemah selepas Tuanku tidak beri perkenan itu, dan mereka yang terlalu cepat bertindak menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri menunjukkan muka mereka yang sebenar. Rakyat sukar untuk memahami apa yang sedang berlaku.

Mari kita lihat pula konteks perundangan dan perlembagaan undian Belanjawan ini. Adat resam Parlimen menyatakan sekiranya sesebuah kerajaan kalah dalam sebarang undian kewangan, maka ia perlu meletakkan jawatan. 

Belanjawan adalah ibu segala rang undang-undang kewangan. Jika Perdana Menteri kalah undian ini, beliau perlu letak jawatan dan kerajaannya akan jatuh. 

Jika kita ikuti Speaker sekarang (walaupun ramai di kalangan kita yang tidak setuju dengan tafsiran perundangan beliau), usul undi tidak percaya hanya boleh dilakukan di Parlimen dengan sokongan menteri undang-undang di sebelah pihak kerajaan! Kalau begitu, lebih baik kita nantikan salji turun di KL dan kita lihat seorang menteri undang-undang menyokong usaha menjatuhkan kerajaannya sendiri.


Maka undi Belanjawan ini menjadi satu-satunya senjata sakti pembangkang untuk menguji keabsahan (legitimacy) kerajaan. Oleh itu, kita tidak patut begitu mudah menyerahkan senjata sakti ini kepada Perdana Menteri. Kita patut pertimbang menggunakan sokongan ini sebagai satu tawaran, demo memperolehi reformasi yang amat-amat diperlukan untuk menyelamatkan demokrasi.

Sekarang mari kita lihat isu pengaturan atau masa. Apakah ada masa yang cukup untuk berbincang? Belanjawan akan dibentang pada 6 November dan undian di peringkat dasar akan diadakan pada 23 November. Selepas itu, undian di peringkat jawatankuasa bagi setiap kementerian akan berlangsung sehingga 10 Disember. Maka ada lebih sebulan untuk kita membuat tuntutan dan Perdana Menteri melaksanakan tuntutan-tuntutan ini, sebelum undian terakhir pada 10 Disember.

Akhir sekali, apakah reformasi yang patut kita bincangkan? Yang paling utama, bagi saya, adalah reformasi demokrasi yang memberi hak sepenuhnya kepada pihak pembangkang mengusulkan undi tidak percaya di Parlimen. 

Sudah tentu Ahli-Ahli Parlimen UMNO yang memikirkan tentang reformasi institusi, termasuk YBM Tengku Razaleigh akan menyokong tuntutan sebegini. Reformasi ini akan membolehkan Parlimen menguji keabsahan Perdana Menteri dan menghalang pemerintahan diktator dari bertapak di bumi tercinta ini.


Kedua, perjanjian yang ditandatangani Kabinet untuk meluluskan Akta Perkhidmatan Parlimen pada sesi Mac 2021 agar Parlimen benar-benar bebas dari kawalan eksekutif dalam isu kewangan dan pentadbiran.

Sudah pasti begitu banyak perkara yang perlu direformasikan, namun saya menggesa pimpinan Pakatan Harapan untuk segera berbincang dengan kerajaan berkenaan dua terma asas ini.

Akhirul kalam, apakah kita patut terus mempercayai kabinet yang lemah longlai ini untuk mengatasi pandemik Covid-19? Tiada makna kita menggunakan perkataan-perkataan seperti “rekonsiliasi”, “perbincangan”, “kurangkan politiking” sekiranya kerajaan tidak ikhlas melaksana reformasi demokrasi. Selepas kegagalan Langkah Darurat, jelas bahawa agenda reformasi demokrasi kini menjadi teramat penting.

Sebagai langkah pertama yang membuktikan keikhlasan pihak kerajaan dalam perkara ini, saya menggesa kabinet untuk membuat pembentangan penuh Belanjawan kepada semua Ahli Parlimen Pembangkang pada 2 November apabila Parlimen mula bersidang. 

Selepas itu, marilah kita berbincang mengenai reformasi dalam konteks undian Belanjawan itu nanti, demi rakyat, demokrasi dan negara.

sumber: FB Nurul Izzah



Join our Telegram Channel
Telegram


"Bukankah kerja gila sokong Belanjawan Muhyiddin selepas langkah DARURAT gagal?" -Wong Chen "Bukankah kerja gila sokong Belanjawan Muhyiddin selepas langkah DARURAT gagal?" -Wong Chen Reviewed by Tun Carlos on October 31, 2020 Rating: 5

1 comment:

Powered by Blogger.