Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Kerajaan terdahulu punca kamelut adat berlarutan, semakin parah -MB

 

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan tampil menegaskan bahawa kemelut membabitkan Institusi Adat dan Raja yang berlaku ketika ini bukannya berpunca daripada pentadbiran semasa, sebaliknya merupakan masalah parah yang diwarisi daripada Kerajaan terdahulu.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato' Haji Ismail bin Lasim, dalam satu kenyataan media menegaskan bahawa kegagalan Menteri Besar terdahulu dalam melaksanakan tanggungjawab di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan telah menyebabkan isu ini berlarutan.


"Keengganan menyempurnakan proses yang sepatutnya dilaksanakan telah menyebabkan kemelut ini berlarutan dan menjadi semakin parah," kata beliau.

Dakwaan "Menurunkan" Yang di-Pertuan Besar Adalah Tidak Benar

Mengulas lanjut berhubung tohmahan yang dilemparkan, Kerajaan Negeri turut menepis dakwaan kononnya Menteri Besar atau Kerajaan Negeri mempunyai kuasa untuk "menurunkan" Yang di-Pertuan Besar.

Beliau menjelaskan bahawa Negeri Sembilan mempunyai sistem pemerintahan beraja yang unik berteraskan Adat Perpatih serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

 * Peranan Undang Yang Empat: Pemilihan Yang di-Pertuan Besar diperuntukkan secara khusus kepada Undang Yang Empat (Undang Luak Sungai Ujong, Jelebu, Johol, Rembau) dan Tunku Besar Tampin serta Dewan Keadilan dan Undang.

 * Tiada Kuasa Unilateral: 
Menteri Besar mahupun EXCO tidak pernah mendakwa atau mempunyai kuasa secara unilateral untuk menentukan siapa yang menaiki atau meninggalkan takhta.

Jangan Jadikan Adat Alat Politik Untuk Ganggu Pentadbiran

Dato' Haji Ismail yang memegang mandat majoriti lebih dua pertiga menegaskan bahawa pihak luar tidak sepatutnya mempermudahkan kemelut ini menjadi pertikaian politik antara Kerajaan Negeri dan Istana.

"Jangan jadikan kemelut adat dan institusi sebagai alasan untuk mengganggu, mengintimidasi atau menyekat sebuah Kerajaan Negeri yang sah daripada melaksanakan amanah yang diberikan oleh rakyat," tegas beliau.

Sambil memegang teguh peribahasa "Biar mati anak, jangan mati adat", beliau menggesa semua pihak agar kembali kepada perlembagaan, memelihara institusi, serta menghormati mandat rakyat demi kestabilan Negeri Sembilan.