SEREMBAN, 22 September — Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Haji Ismail bin Lasim mengumumkan penggantungan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Dato’ Mohd Zafir bin Ibrahim dan Penasihat Undang-Undang Negeri, YB Dato’ Muzalmah binti Mustapha Kamal berkuat kuasa serta-merta.
Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Khas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang berlangsung hari ini dan diputuskan secara sebulat suara.
Menurut Ismail, YB Dato’ Masri bin Haji Razali, yang merupakan Pegawai Kewangan Negeri, dinamakan untuk menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri sehingga Setiausaha Kerajaan Negeri baharu dinamakan oleh Ketua Setiausaha Negara.
Bagi tugas memberikan nasihat perundangan pula, ia akan dilaksanakan oleh En. Fahmi bin Adilah, seorang peguam bela dan peguam cara, sehingga Penasihat Undang-Undang Negeri baharu dinamakan oleh Jabatan Peguam Negara.
“Notis penggantungan Setiausaha Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan akan dimaklumkan kepada Ketua Setiausaha Negara dan Jabatan Perkhidmatan Awam.
“Seterusnya, notis penggantungan Penasihat Undang-Undang Negeri, Negeri Sembilan akan dimaklumkan kepada Jabatan Peguam Negara,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Dalam pada itu, Ismail mengesahkan semua jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan kekal dan sah.
Beliau turut menegaskan pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan akan terus berjalan seperti biasa dan segala amanah kepada rakyat akan terus dilaksanakan.
Perkembangan terbaharu itu berlaku ketika Negeri Sembilan berdepan kemelut berkaitan kedudukan institusi Yang di-Pertuan Besar dan status pelantikan barisan Exco negeri.
Sebelum ini, laporan media menyebut Tuanku Muhriz Tuanku Munawir membatalkan pelantikan 10 Ahli MMKN berkuat kuasa serta-merta. Bagaimanapun, Menteri Besar menegaskan barisan Exco sedia ada masih sah dan akan terus menjalankan tugas seperti biasa.
Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut mengesahkan beliau dan Ismail tidak dititah menghadap Tuanku Muhriz berhubung polemik yang sedang berlaku dan berkata pihaknya mengetahui mengenai perkara tersebut melalui laporan media.
Pengumuman penggantungan dua pegawai kanan kerajaan negeri itu kini menambah satu lagi perkembangan penting kepada kemelut pentadbiran Negeri Sembilan yang sedang menjadi perhatian.

