KUALA LUMPUR: Pelawak terkenal Harith Iskander berdepan saman fitnah berjumlah RM10 juta selepas Datin Seri Rosmah Mansor mendakwa beliau menghina rupa paras dan fizikalnya dalam satu persembahan komedi.
Saman itu difailkan Rosmah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menerusi firma guaman Tetuan Reza Rahim & Rajivan, dengan menamakan Harith sebagai defendan tunggal.
Menurut pernyataan tuntutan, persembahan berkenaan didakwa berlangsung pada 4 Julai lalu di sebuah pusat konvensyen di ibu negara, di mana Harith dikatakan memaparkan imej makhluk mitologi sebelum membuat beberapa kenyataan yang didakwa menyindir serta memperlekehkan penampilan fizikal Rosmah di hadapan penonton.
Rosmah mendakwa tindakan itu telah mencemarkan maruah, reputasi dan imejnya selain menyebabkan tekanan emosi, penghinaan serta menjadi bahan ejekan di media sosial.
Sehubungan itu, beliau menuntut ganti rugi am sebanyak RM5 juta, ganti rugi teladan RM5 juta, selain ganti rugi teruk, faedah, kos serta perintah injunksi bagi menghalang defendan daripada mengulangi kenyataan yang didakwa memfitnahnya.
Kes itu dijangka melalui proses pengurusan kes di Mahkamah Tinggi dalam masa terdekat.

