Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Gagasan Pahang 1st diangkat sebagai model pentadbiran Islam moden


KUANTAN: Gagasan Aspirasi Pahang 1st dan Belanjawan Negeri Pahang 2026 disifatkan sebagai dua kajian kes penting yang memperlihatkan bagaimana prinsip pentadbiran Islam dapat diterjemahkan secara praktikal dalam sistem governan moden, menurut kajian Institut Integriti dan Demokrasi Malaysia–Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (IIDM-MUIP).

Menurut Pengarah Eksekutif IIDM-MUIP, Prof Madya Dr Amran Muhammad, kedua-dua kajian itu membuktikan bahawa komitmen terhadap pentadbiran dan pelaksanaan negeri atau daulah Islam bukan sekadar slogan, sebaliknya dilaksanakan melalui kerangka Fiqh al-Watan yang menggabungkan prinsip Siyasah Syar'iyyah dengan keperluan pentadbiran kontemporari.

 

Beliau berkata, pentadbiran Kerajaan Negeri Pahang di bawah kepimpinan Menteri Besar, Dato' Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, berjaya menterjemahkan kerangka tersebut kepada pelbagai inisiatif pembangunan yang bukan sahaja selari dengan Maqasid Syariah, malah memenuhi matlamat Sustainable Development Goals (SDG) di peringkat global.

Katanya, menerusi Gagasan Aspirasi Pahang 1st yang membawa tema "Negeri Maju, Terpimpin dan Terpelihara" serta Belanjawan Negeri Pahang 2026 bertemakan "Pahang 1st: Rakyat Didahulukan, Kemakmuran Dipertahankan", kerajaan negeri terus memperkukuhkan sektor ekonomi, infrastruktur sosial, pendidikan dan pemeliharaan alam sekitar.

Pada masa sama, kerajaan negeri turut memberi penekanan terhadap pemerkasaan institusi kesultanan, agama Islam dan adat resam Melayu sebagai kesinambungan kepada warisan Kesultanan dan Peradaban Islam di Pahang yang kini menjangkau usia 556 tahun.

Menurut Dr Amran, penilaian terhadap kedua-dua dasar itu dalam konteks Fiqh al-Watan, Maqasid Syariah dan SDG menunjukkan pembangunan negeri tidak hanya tertumpu kepada aspek fizikal dan material, sebaliknya mengintegrasikan pembangunan intelektual serta spiritual rakyat, khususnya umat Islam.

Beliau menjelaskan, pendekatan itu mewujudkan satu kerangka governan Siyasah Syar'iyyah yang lebih menyeluruh melalui sinergi antara agama dan negara atau al-Din wal-Daulah, sekali gus menjadikan Pahang sebagai model negeri Islam kontemporari yang produktif, progresif dan berperadaban.

"Secara prinsipnya, Fiqh al-Watan Pahang memperkukuh wacana governan Islam sebagai paradigma baharu dalam sistem pentadbiran Islam kontemporari.

"Pelaksanaannya memperlihatkan keseimbangan antara ilmu, iman, amal, ihsan, tradisi dan inovasi, merangkumi spiritualiti serta profesionalisme ke arah pembentukan pemerintahan negeri Islam yang berdaulat, bersyariat dan beradat," katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa model pentadbiran yang dilaksanakan di Pahang boleh dijadikan rujukan dalam memperkasa governan Islam yang mampu memenuhi tuntutan semasa tanpa mengabaikan prinsip-prinsip syariah dan nilai peradaban.

-TunCarlos.com