KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) mengumumkan rombakan kepimpinan dalaman berkuat kuasa serta-merta dengan dua pemimpin kanan, Mohd Radzi Md Jidin dan Mohamed Azmin Ali, digugurkan daripada jawatan utama yang disandang sebelum ini.
Pengerusi PN, Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penstrukturan semula tersebut dibuat sebagai persediaan gabungan itu menghadapi cabaran politik serta Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan yang bakal berlangsung.
Menurut beliau, Mohd Radzi dihentikan perkhidmatannya sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya PN dan tugas berkenaan kini diserahkan kepada Muhammad Sanusi Md Noor.
Susulan pelantikan itu, jawatan Bendahari PN yang sebelum ini disandang Sanusi pula diisi oleh Timbalan Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), S Subramaniam.
Dalam masa sama, Mohamed Azmin turut digugurkan daripada jawatan Pengerusi PN Selangor. Tempat beliau kini diambil alih oleh Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali.
Ahmad Samsuri menjelaskan bahawa rombakan berkenaan dilaksanakan mengikut peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan PN dan berkuat kuasa serta-merta.
Langkah tersebut dilihat sebagai usaha memperkukuhkan jentera dan menyusun semula strategi gabungan pembangkang menjelang beberapa siri pilihan raya yang akan datang.
-TunCarlos.com


